AM

PERLIS TERSENARAI EMPAT NEGERI CATAT SIFAR MISKIN TEGAR - RAJA PERLIS

22/04/2025 03:28 PM

KANGAR, 22 April (Bernama) -- Perlis mencapai status sifar miskin tegar berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional e-Kasih hingga 31 Disember tahun lepas dan negeri itu tersenarai empat negeri yang mencatatkan sifar miskin tegar, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah pelbagai inisiatif dan geran perniagaan kepada komuniti telah disediakan sebagai jambatan untuk mereka memulakan langkah pertama keluar daripada kelompok kemiskinan.

"Beta mohon supaya Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat dan Kerajaan Negeri Perlis terus turun padang untuk memastikan golongan miskin tegar kekal sifar dan seluruh rakyat negeri Perlis keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Beta juga menyeru semua agensi kerajaan dan pihak NGO (pertubuhan bukan kerajaan) terlibat yang mempunyai geran atau sebarang bentuk bantuan seumpamanya untuk mempergiat usaha dan bergerak aktif mencari peserta yang berminat dan selayaknya untuk memulakan perniagaan serta bimbinglah mereka agar sama-sama dapat membangunkan negeri kita ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks DUN di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah banyak perubahan dan kemajuan negeri Perlis dapat dilihat kebelakangan ini apatah lagi apabila negeri itu menjadi tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Raja Perlis bertitah kemasukan pelancong direkodkan sebanyak 2.99 juta orang dari dalam dan luar negara pada tahun lepas dan jumlah itu cerminan kemajuan produk serta industri pelancongan yang telah mencapai tahap boleh membanggakan.

"Selain itu, ia juga akan memberikan impak positif kepada pengusaha dan pemain industri makanan dan hospitaliti di negeri Perlis ini. Beta amat kagum dengan rakyat negeri beta yang bijak mengambil peluang dengan membina hotel dan inap desa yang sangat cantik dan unik reka bentuknya," titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menjadi antara 18 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menerima penarafan Bandar Pintar Malaysia tahap satu iaitu Smart City Early Adopter pada 28 Okt lepas.  

"Tahniah dan syabas beta ucapkan. Penarafan ini adalah permulaan negeri Perlis sebelum mencapai keseluruhan empat tahap lengkap bandar pintar.

“Tahap pertama ialah Smart City Early Adopter; tahap kedua Developing Smart City; tahap ketiga Leading Smart City dan tahap keempat Visionary Smart City," titah baginda.

Baginda turut menasihatkan supaya memberikan fokus kepada perkara penting berhubung masa depan negeri dan rakyat sempena Persidangan DUN itu serta menghindari sebarang tindakan kurang sopan atau membesarkan perkara remeh kerana rakyat sentiasa memerhati dan menilai setiap tingkah laku wakil rakyat dipilih mereka.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan