Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 22 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia hari ini dengan memfokuskan terhadap kerjasama serantau, inovasi, dan industri halal.
Jadual padat Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan merasmikan majlis pelepasan ASEAN Unity Drive 2025 yang menampilkan Proton e.MAS 7.
Beliau juga akan bertemu dengan Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Profesor Ahmad Haikal Hasan, sebelum mengambil bahagian dalam Mesyuarat Meja Bulat Halal Malaysia-Indonesia untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang halal.
Ahmad Zahid juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Prabowo Subianto untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia erat dan akrab antara Malaysia dan Indonesia.
Sebelum ini pada Isnin, beliau membincangkan hal ehwal halal, tenaga kerja, nelayan, isu serantau dan Palestin semasa pertemuannya dengan Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka.
Ahmad Zahid dijadual mengadakan sidang media sebelum kembali ke Kuala Lumpur, petang ini.
-- BERNAMA