AM

HARI BUMI SEDUNIA 2025: IPP PERKUKUH KOMITMEN PEMULIHARAAN MARIN NEGARA

22/04/2025 12:03 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Projek pembinaan Taman Karang di Pulau Layang-Layang oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Bintawa, Sarawak adalah antara inisiatif Jabatan Perikanan (DOF) dalam memelihara dan memulihkan alam sekitar marin negara. 

Projek taman karang buatan manusia terbesar di Malaysia itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records dan dicalonkan untuk Anugerah Pembangunan Lestari JCI Malaysia 2025.

Ketua Pengarah DOF Datuk Adnan Hussain berkata projek itu bukan sahaja menyumbang kepada konservasi biodiversiti marin, tetapi memperkukuh mekanisme penyerapan karbon semula jadi melalui pembentukan struktur batu kapur oleh organisma terumbu karang.

“Selain itu, IPP giat menjalankan penyelidikan berkaitan ekosistem karbon biru seperti habitat rumput laut yang berupaya mengasingkan karbon dengan lebih efisien berbanding tumbuhan darat.

“Inisiatif pemulihan habitat rumput laut melalui teknik propagasi rumput laut secara ex situ di IPP Rantau Abang, Terengganu adalah langkah ke hadapan dalam memastikan ekosistem ini terus menyumbang kepada mitigasi perubahan iklim secara mampan,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Bumi Sedunia yang disambut pada setiap 22 April.

Beliau berkata IPP Gelang Patah, Johor pula membangunkan sistem rawatan efluen berasaskan media penapis biologi yang diperbuat daripada sisa cangkerang kerang, yang bukan sahaja membantu menstabilkan parameter air ternakan, tetapi turut menyerap karbon secara biologi melalui pembentukan biofilm mikroorganisma.

Selain itu, IPP Glami Lemi, Negeri Sembilan menjadi institut penyelidikan pertama di Malaysia yang melaksanakan pemasangan panel solar melalui Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Dengan kapasiti penjanaan 572 kilowatt, sistem ini dijangka menjimatkan kos operasi sebanyak RM6.7 juta dalam tempoh 20 tahun, dan mencerminkan komitmen IPP terhadap penggunaan tenaga alternatif yang mesra alam,” katanya.

Adnan berkata sambutan Hari Bumi Sedunia bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan DOF dalam melindungi khazanah marin negara, dan melalui IPP jabatan itu akan terus menerajui usaha penyelidikan dan inovasi yang menyokong pemuliharaan ekosistem marin, memperkasa komuniti nelayan serta memastikan kelestarian sumber perikanan negara.

“Sempena sambutan Hari Bumi Sedunia 2025, DOF menyeru semua pihak termasuk kerajaan, industri dan komuniti agar terus berganding bahu dalam usaha memelihara dan memulihara ekosistem marin negara demi memastikan kesejahteraan alam sekitar dan kelestarian bumi untuk generasi masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan