PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Malaysia berusaha ke arah ekonomi lestari dan dipacu inovasi dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) di antara Central Corporate Engineering Sdn Bhd (CCE) dengan Oasis Xtract Sdn Bhd.
Disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang, kerjasama yang terbentuk ini bertujuan mewujudkan ekosistem alga yang bersepadu sepenuhnya iaitu daripada pembiakan sehingga ke pengekstrakan minyak nilai tambah yang berpotensi untuk mengubah landskap bioteknologi hijau Malaysia.
"Kerjasama ini lebih daripada sekadar perjanjian rasmi sebaliknya ia mencerminkan visi bersama untuk kelestarian, inovasi dan kemajuan bagi Malaysia," katanya sewaktu berucap pada majlis pemeteraian MoU tersebut.
Chang berkata MoU berkenaan sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 MOSTI yang kedua-duanya menekankan inovasi, teknologi hijau dan ekonomi berasaskan bio kitaran sebagai pemacu utama bagi ketahanan ekonomi yang lestari.
Beliau menekankan kejayaan CCE dalam membiak mikroalga dengan menggunakan keadaan heterotrof iaitu satu kaedah yang tidak bergantung kepada cahaya matahari selain membolehkan pengeluaran yang stabil serta tidak terjejas oleh cuaca.
Sistem tangki tertutup CCE juga membolehkan penuaian alga setiap lima hari dengan tapak tanah yang kecil selain semua teknologi dibangunkan sepenuhnya serta dimiliki secara tempatan.
"Saya berpeluang mengunjungi kemudahan CCE di Semenyih tahun lepas dan berasa benar-benar kagum. Sistem percubaan penanaman alga mereka direka, dibangunkan dan diuruskan sepenuhnya secara dalaman. Ia merupakan bukti kepada apa yang boleh dicapai melalui inovasi dan ketekunan tempatan," katanya.
Melalui kerjasama ini, Oasis Xtract akan memproses lebih lanjut alga yang dituai oleh CCE supaya menjadi minyak alga mentah yang mempunyai potensi komersial dalam pelbagai sektor termasuk bahan api bio, biodiesel, bahan api penerbangan lestari, bioplastik, kosmetik dan farmaseutikal.
"Kerjasama seperti ini akan menyumbang kepada agenda nasional kita mengenai ekonomi berasas bio kitaran, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan menyokong pembangunan industri hijau bernilai tinggi.
"Yang lebih penting, ia memperkukuh keupayaan kita untuk membangunkan teknologi tempatan yang mampu bersaing di peringkat global," kata Chang.
Inisiatif ini juga menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan komitmen iklim Malaysia di bawah Perjanjian Paris.
CCE dijangka memulakan pembinaan kemudahan pembiakan alga secara tangki tertutup berskala komersial seluas 2.02 hektar menjelang Jun 2025.
"Jangan kita lupakan iaitu inovasi mesti berkhidmat untuk rakyat. Ia mesti mencipta pekerjaan, menjana pengetahuan dan membuka peluang baharu.
"Keberhasilan kerjasama ini boleh memberi inspirasi kepada gelombang baharu usahawan teknologi, penyelidik dan bakat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk menceburi bidang yang bukan sahaja boleh dijalankan secara komersial, tetapi juga bertanggungjawab terhadap alam sekitar," kata Chang.
MoU CCE-Oasis Xtract menetapkan penanda aras nasional untuk teknologi hijau yang lestari dan boleh dikembangkan secara komersial selain meletakkan kedudukan Malaysia sebagai pesaing serius dalam ekonomi berasaskan bio global.
-- BERNAMA