AM

PETUGAS RTM MARLIA MOHAMED MENINGGAL DUNIA DI KEDIAMANNYA DI SHAH ALAM

20/04/2025 08:22 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Petugas bilik berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Marlia Mohamed menghembuskan nafas terakhir pada 5.45 petang tadi di kediamannya di Shah Alam, Selangor.

Marlia, 44, pernah menjadi pemberita di Bahagian Berita Ehwal Semasa, Jabatan Penyiaran Malaysia sebelum ini hilang upaya kekal berikutan penyakit diabetes yang dihidapinya sejak 2009.

Ibu saudara Allahyarham, Sabariah Mohamad berkata keadaan Marlia agak lemah sejak tiga hari lepas.

“Beliau juga tidak berapa lalu makan. Tadi, saya dihubungi oleh suami Allahyarham yang memaklumkan Marlia telah meninggal dunia di rumahnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Marlia mula menghidap penyakit diabetes selepas melahirkan melahirkan anak lelaki tunggalnya dengan kaki kiri terpaksa dipotong hingga bahagian paha berikutan jangkitan kuman pada November 2023.

Penderitaan Marlia turut mendapat perhatian Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang melawatnya di kediamannya tahun lepas.

Beliau turut diberi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbentuk katil elektrik daripada kementerian Sumber Manusia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurut Sabariah, sumbangan katil elektrik itu banyak membantu memudahkan urusan harian anak saudaranya.

“Allahyarham meninggalkan anak lelaki berusia 16 tahun,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan