SHAH ALAM, 20 April (Bernama) -- Mesyuarat koordinasi bagi menangani isu berbangkit berkaitan kejadian banjir kilat khususnya di kawasan Shah Alam dan Klang akan diadakan esok, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata mesyuarat itu akan melibatkan semua pihak berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menangani perkara berkenaan dengan segera.
“Saya melihat sendiri kesan banjir kilat akibat kadar hujan yang tinggi minggu ini dan memberikan impak terhadap penduduk terutamanya di kawasan seperti Taman Melawis, Klang dan Taman Sri Muda, Shah Alam.
“Pejabat saya turut dihubungi penduduk yang menyatakan keresahan serta kerisauan mereka terhadap situasi yang berulang kerana komponen Rancangan Tebatan Banjir yang dirasai kurang disegerakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin berkata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Ir Izham Hashim juga telah diarahkan untuk mengatasi semua isu yang menyebabkan proses pembinaan tebatan banjir sama ada di peringkat tempatan, negeri mahupun Persekutuan belum dapat disegerakan selain pertemuan akan diatur dengan penduduk terjejas.
“Penyelesaian jangka panjang harus dilaksanakan secepat mungkin melalui kerjasama semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan.
“Meskipun hampir empat tahun telah berlalu, episod ngeri bah besar Dis 2021 masih lekat dalam ingatan setiap rakyat Selangor dan tiada sesiapa mahu melihatnya berulang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan sekumpulan penduduk di Taman Sri Muda, Kota Kemuning serta Batu 8 berhimpun dekat sini, hari ini menuntut penyelesaian isu banjir.
-- BERNAMA