SEREMBAN, 21 April (Bernama) -- Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC) K Nanthakumar sudah membayangkan hala tuju skuad Hobin Jang Hobin jika beliau diberikan mandat membimbing pasukan menghadapi musim baharu Liga Super 2025/2026.
Beliau berkata setakat ini, pihak pengurusan masih belum mengadakan perbincangan dengannya dan kebanyakan pemain yang akan tamat kontrak pada hujung bulan ini.
“Tahun ini saya hanya jurulatih caretaker dengan pemain tempatan dan import yang ada. Kalau bagi saya peluang kedua untuk musim depan sebagai ketua jurulatih, saya mungkin akan ubah pemain dan ikut cara saya mahu.
“Bagi saya, lantik jurulatih dahulu baru pemain. Jurulatih boleh pilih pemain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan terakhir Liga Super 2024/2025 menentang Kuching City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.
Pada perlawanan semalam, tuan rumah tewas 1-3 kepada Kuching City FC, sekali gus menamatkan saingan di tempat ke-12 dengan 16 mata manakala Kuching City FC di tangga keempat selepas mengumpul 39 mata.
Sementara itu, pengendali Kuching City FC Aidil Sharin Sahak berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya pada keseluruhan musim ini.
“Terima kasih kepada pemain, pengurusan dan peminat. Awal musim kita ada turun naik kerana kecederaan dan sebagainya, tapi kita bangkit selepas jendela perpindahan kedua,” katanya sambil menambah Kuching City FC akan mengekalkan 90 peratus pemain sedia ada dengan sedikit perubahan untuk menghadapi musim baharu.
-- BERNAMA