AM

POLYCC JANGKA MILIKI CAPAIAN WIFI 100 PERATUS PADA JUN-JULAI DEPAN

20/04/2025 06:20 PM

KOTA BHARU, 20 April (Bernama) -- Sistem Perpustakaan Berpusat Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) dijangka mempunyai akses capaian WiFi seratus peratus pada Jun atau Julai tahun ini.

Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam kenyataannya memaklumkan bagi mencapai liputan WiFi 100 peratus itu, POLYCC telah dimasukkan dalam senarai projek perluasan WiFi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi fasa 2 yang sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Jun depan.

"Keberhasilan daripada peruntukan ‘Rolling Plan’ (RP) 4 serta RP5 dalam projek perluasan WiFi dan digabungkan dengan peruntukan perluasan WiFi oleh MCMC, maka kampus POLYCC akan mempunyai capaian WiFi seratus peratus pada sekitar Jun dan Julai 2025," menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu peruntukan bagi RP4 dilihat sebagai titik perubahan untuk JPPKK memberi fokus kepada projek perluasan WiFi bagi fasa pertama yang telah memberi manfaat kepada tujuh politeknik dengan kos keseluruhan RM9 juta dan tempoh pelaksanaan selama dua tahun serta dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

"Apabila projek ini siap, peratusan capaian WiFi akan meningkat kepada 68 peratus. JPPKK turut menerima RM5 juta untuk pembangunan semula aplikasi Sistem Pengurusan Maklumat Politeknik (SPMP) versi 2.0," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kesinambungan perluasan WiFi fasa 2 dalam RP5 telah dimasukkan sebagai agenda utama JPPKK dengan kos RM15.6 juta dan akan memberi manfaat kepada sembilan politeknik. 

"Projek ini dijangka siap pada 2026 dan apabila projek fasa ini selesai, maka capaian WiFi di politeknik akan meningkat kepada 83.6 peratus secara keseluruhan.

"Peruntukan RP5 ini juga akan melibatkan projek gantian usang melibatkan 16 Kolej Komuniti dengan kos keseluruhan RM4.5 juta dan dijangka siap pada tahun ini," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan