AM

LOKE BERI AMARAN KEPADA TONTO, TEGASKAN JPJ TAKKAN TUNDUK UGUTAN

19/04/2025 06:21 PM

IPOH, 19 April (Bernama) -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini memberi amaran kepada tonto yang menggugut penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedang melakukan operasi penguatkuasaan, terutamanya melibatkan kenderaan berat. 

Loke menegaskan JPJ tidak akan sekali-kali berkompromi dan tunduk kepada sebarang ugutan tonto yang dikatakan diupah oleh pihak pengusaha kenderaan berat itu. 

"Saya ingin memberi mesej jelas bahawa anggota JPJ adalah penguat kuasa yang diberi tauliah oleh kerajaan, jika ada yang mencabar mereka (penguat kuasa) ia juga seolah-olah mencabar undang-undang negara. 

"Mereka (penguat kuasa) ini menjalankan tugas, dan akan terus menjalankan tugas dengan berani tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun JPJ ke-79 di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli. 

Loke mengakui sejak JPJ memperbanyakkan operasi dan menguatkuasakan undang-undang lebih ketat ke atas kenderaan berat, terdapat pihak yang tidak menyenangi langkah berkenaan. 

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan mempunyai tanggungjawab demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin memandangkan kemalangan maut melibatkan kenderaan berat kini semakin meningkat. 

Beliau turut menggesa pihak syarikat pengusaha kenderaan berat memberi tumpuan bukan hanya kepada keadaan kenderaan tetapi juga pemandu perlu dipastikan terlatih, berhemah dan bebas daripada gejala penggunaan bahan terlarang. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan