AM

SYARIKAT TELEKOMUNIKASI BERPELUANG SEDIA PERKHIDMATAN RANGKAIAN GENTIAN OPTIK DI JAJARAN REL KERETA API

18/04/2025 04:50 PM

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Kerajaan kini membenarkan syarikat telekomunikasi berlesen menyediakan perkhidmatan rangkaian gentian optik di sepanjang jajaran rel kereta api di seluruh negara, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata keputusan itu dipersetujui menerusi satu memorandum yang dibawa beliau kepada Jemaah Menteri sekali gus membolehkan lebih banyak syarikat menyertai pembangunan infrastruktur digital negara.

Setakat ini, beliau berkata YTL Communications Sdn. Bhd. menerusi Request for Proposal (RFP) telah dipilih untuk mengoptimumkan penggunaan aset rel nasional bagi pembangunan rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi.

“Sebelum ini, FiberRail Sdn Bhd ialah syarikat yang diberikan hak eksklusif untuk memasang gentian optik di semua laluan-laluan landasan kereta api. 

“Dengan adanya satu keputusan dasar untuk merealisasikan wayleave ini maka syarikat-syarikat lain boleh dibenarkan untuk menggunakan laluan kereta api untuk memasang gentian optik,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Apresiasi dan Hari Terbuka Perbadanan Aset Keretapi (RAC) 2025 di sini hari ini.

Pada majlis itu, YTL Communications Sdn. Bhd. diumumkan sebagai syarikat pertama yang berjaya dalam RFP yang dilaksanakan RAC pada 2023 untuk membangunkan infrastruktur gentian optik di sepanjang 1,600 kilometer jajaran rel dari Padang Besar ke Johor Bahru dan Tumpat di Kelantan.

Loke dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Bagi Pembangunan Rangkaian Gentian Optik antara Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Sdn. Bhd. Wing K. Lee.

Sementara itu, Loke menegaskan hak eksklusif pembangunan rangkaian itu bukan untuk satu pihak sahaja tetapi ia terbuka kepada semua syarikat pembekal telekomunikasi yang layak.

“Ini adalah untuk kita pastikan, pertamanya kita ada lebih banyak rangkaian gentian optik ini untuk memastikan dari segi kita punya aspek digital dan komunikasi ini dapat dipertingkatkan.

“Ia juga memberikan pulangan yang tambahan kepada pihak RAC kerana semua wayleave ini akan memberikan pulangan kepada RAC setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, RAC dalam satu kenyataan memaklumkan pelaksanaan inisiatif liberalisasi pembangunan infrastruktur telekomunikasi di sepanjang koridor kereta api milik RAC adalah sebagai langkah strategik untuk menyokong agenda transformasi digital negara.

“Langkah ini bertujuan membuka akses kepada pemain industri telekomunikasi berlesen melalui proses RFP sekali gus mengoptimumkan penggunaan aset rel nasional bagi pembangunan rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi.

“Pelaksanaan inisiatif ini dijangka mampu menjana pendapatan baharu kepada RAC dan pada masa yang sama mengurangkan kebergantungan kepada dana pembangunan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

RAC memaklumkan hasil yang diperoleh akan digunakan semula untuk pembangunan dan peningkatan industri rel, termasuk penyelenggaraan stok guling (rolling stock) dan stesen kereta api atau penambahbaikan fasiliti.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan