KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) akan mewujudkan Perikatan Impak MSPO menjelang suku ketiga tahun ini, satu platform pelbagai pihak berkepentingan baharu yang direka untuk meneroka dan menguji model inovatif yang meluaskan nilai pensijilan.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata platform itu ditubuhkan melalui kerjasama dengan badan bukan kerajaan, badan akreditasi, institusi kewangan, rakan teknologi dan syarikat barangan penguna laris multinasional untuk menyokong pelbagai projek rintis.
Beliau berkata inisiatif rintis itu seperti pembiayaan hijau untuk pengeluar yang diperakui, penyelesaian kebolehjejakan digital, alat pemantauan pembasmian hutan dan insentif sumber inklusif untuk pekebun kecil.
Usaha itu bertujuan menggerakkan kalangan syarikat multinasional yang menggunakan minyak sawit untuk mematuhi konsep kemampanan, katanya.
Beliau berkata oleh itu, konsep kemampanan Malaysia adalah pensijilan.
“Kita berusaha menjadi rakan agar mereka (syarikat multinasional) dapat terus memberikan maklum balas kepada kita. Mesti ada sistem dua hala untuk menyempurnakan proses ini. Komunikasi dua hala diperlukan, yang melibatkan pembeli dan pengeluar.
“Maklum balas yang diberikan akan merangkumi cadangan penambahbaikan terhadap piawaian (MSPO), yang akan kita perkenalkan ke dalam sistem itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MSPO dan Nestlé Malaysia di sini, hari ini.
Johari berkata platform Perikatan Impak itu juga akan menumpukan kepada penyelesaian praktikal termasuk kebolehjejakan bagi pekebun kecil, alat untuk pematuhan sosial, persediaan bagi peraturan baharu seperti Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) serta usaha bersama untuk menunjukkan impak.
Beliau berkata itu antara inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menarik lebih banyak penglibatan syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini, terutama yang terlibat dalam produk makanan seperti konfeksi, serta produk bukan makanan seperti barangan penjagaan diri dan detergen.
Sementara itu, MSPO dan Nestle Malaysia menjelaskan MoU yang ditandatangani itu bertindak sebagai penanda aras penting ke arah memajukan kemampanan, kebolehjejakan dan keterangkuman dalam sektor minyak sawit Malaysia.
Johari berkata kerjasama itu dijangka dapat meningkatkan penyumberan minyak sawit secara bertanggungjawab, dengan menggabungkan rangka kerja pensijilan kebangsaan MSPO yang inklusif dengan komitmen Nestlé Malaysia terhadap pemerolehan secara bertanggungjawab serta pengalaman penyumberan global.
“Kerjasama dengan jenama global seperti Nestlé memberi peluang berharga kepada Malaysia untuk mengukuhkan reputasinya sebagai pengeluar minyak sawit berkualiti tinggi, ditanam secara mampan.
“MoU ini memberi tumpuan kepada tindakan praktikal melalui penambahbaikan keupayaan kebolehjejakan, pengukuhan amalan buruh yang bertanggungjawab, pemerkasaan pekebun kecil dengan pengetahuan dan sumber, serta langkah menjajarkan dengan piawaian global,” katanya.
Secara asasnya, beliau menyatakan harapan agar kerjasama itu dapat membantu MSPO memperoleh pengiktirafan, meningkatkan keyakinan pembeli, dan memastikan minyak sawit Malaysia kekal berdaya saing di pasaran yang mempunyai piawaian tinggi.
-- BERNAMA