AM

BERNAMA MAHU PERTINGKAT KERJASAMA DENGAN CMG DALAM BIDANG TEKNOLOGI DAN PRODUKSI

17/04/2025 11:32 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) mahu mempertingkat dan memperluaskan skop kerjasama dengan Kumpulan Media China (CMG) dalam pelbagai bidang khususnya teknologi dan produksi.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata BERNAMA dan CMG mempunyai hubungan yang sangat akrab namun masih terdapat ruang kerjasama yang boleh dilakukan bagi memperkukuh dan menambah baik kandungan serta produksi kedua-dua pihak.

“Jadi di pihak Bernama secara khusus saya melihat peluang kerjasama itu boleh dipertingkatkan. Ini dapat kita saksikan daripada penghasilan beberapa siri penerbitan dan juga kunjungan-kunjungan media ke China dan timbal balasnya ke Malaysia.

Saya percaya dengan kerjasama yang erat yang telah sedia ada, kita boleh meningkatkannya lagi dan menambah baik lagi kandungan-kandungan produksi kita di kedua-dua pihak,” katanya lagi dalam satu temu bual bersama CGTN pada Selasa malam.

Mengulas lanjut, Nur-ul Afida berkata China mempunyai kelebihan dari segi teknologi, justeru beliau berharap Bernama dan CMG dapat melakukan pertukaran tenaga kerja dari segi penempatan dalam usaha untuk berkongsi pengalaman dan belajar khususnya dalam aspek teknologi daripada CMG.

Beliau ditemui selepas majlis pertukaran budaya bertajuk “China dan Malaysia: Berganding Bahu ke Arah Kemakmuran Bersama” yang diadakan di Kuala Lumpur.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran kerjasama media China-Malaysia fasa baharu melibatkan Bernama dan beberapa media arus perdana lain.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan