KOTA KINABALU, 17 April (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Baja Pertanian 2025 bagi mengawal pengilangan, pengimportan, pengeksportan dan penjualan baja, baja tambahan serta bahan mentah untuk membuat baja.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata undang-undang itu penting bagi memastikan keselamatan dan kualiti baja pertanian di negeri ini serta perkara lain yang bersampingan dengannya.
“Rang undang-undang ini adalah langkah penting bagi memastikan sektor pertanian di Sabah terus berkembang dengan mampan, cekap dan berdaya saing. Sektor pertanian bukan sahaja menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negeri tetapi juga sumber rezeki ribuan petani Sabah.
“Negeri ini mencatat keluasan tanah bertanam dengan sektor pertanian yang terbesar di Malaysia, meliputi lebih dua juta hektar,” katanya ketika membentangkan usul RUU itu pada persidangan berkenaan.
Beliau berkata kebergantungan tinggi terhadap tanaman seperti kelapa sawit, padi, buah-buahan dan tanaman industri lain menjadikan keperluan terhadap baja pertanian yang berkualiti dan terkawal sebagai faktor kritikal dalam memastikan produktiviti pertanian yang mampan.
Jeffrey berkata baja pertanian tiruan mempunyai formulasi atau kandungan nutrien yang tidak menepati apa yang dinyatakan pada label didaftarkan, namun petani tidak mempunyai kaedah untuk menguji produk baja yang ada di pasaran seterusnya merugikan mereka.
Beliau berkata bagi pemain industri pula, syarikat pengeluar baja tempatan yang sebelum ini berdepan persaingan tidak sihat akibat lambakan baja tiruan kini boleh beroperasi dalam pasaran yang lebih telus dan adil.
“Dengan adanya pemantauan dan kawalan ketat terhadap pengedaran baja, syarikat ini dapat memastikan produknya mendapat kepercayaan petani, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap baja berkualiti tinggi yang dihasilkan secara tempatan.
“Seterusnya pengguna terutama petani mendapat jaminan bahawa setiap baja yang dibeli benar-benar memberikan nilai untuk wang mereka. Dalam jangka panjang, langkah ini menyumbang kepada kestabilan dan kemajuan sektor pertanian Sabah,” katanya.
Usul RUU itu kemudian diluluskan dengan suara terbanyak.
Enakmen Baja Pertanian 2025 antara lain memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan berulang denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya kemudian menangguhkan persidangan itu ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.
-- BERNAMA