DUNIA

PERDAGANGAN LUAR CHINA MANTAP BAGI SUKU PERTAMA 2025

16/04/2025 03:07 PM

BEIJING, 16 April (Bernama-CMG) -- Sektor perdagangan luar China mencapai prestasi yang mantap pada suku pertama 2025 dengan jumlah import dan eksport barangan meningkat 1.3 peratus dari tahun ke tahun, menokok sebanyak 10.3 trilion yuan (RM6.4 trilion).

Antaranya jumlah eksport mencatat 6 trilion yuan (RM3.62 trilion), menyaksikan kenaikan sebanyak 6.9 peratus. Produk tenaga baharu buatan China terus memainkan peranan penting dalam transformasi hijau dalam senario global.

Sementara itu, pengimportan komponen dan peralatan terus meningkat, didorong oleh pengeluaran perindustrian yang berkembang pesat.

Untuk tempoh sama, jumlah dagangan antara China dengan negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menokok 2.2 peratus kepada 5.26 trilion yuan (RM3.18 trilion).

Terdapat media asing yang melaporkan bahawa di sebalik tindakan Amerika Syarikat (AS) menaikkan tarif sehingga mengganggu orde dagangan global, bukanlah mudah bagi China untuk mencapai prestasi ekonomi yang sebegini.

Berdepan pelbagai cabaran luaran seperti halangan tarif, dari mana datangnya daya tahan perdagangan luar China?

Profesor Wang Xiaosong dari Universiti Renmin China (RUC) berkata ia banyak disumbang oleh landskap ekonomi yang akomodatif serta pasaran luas dan potensi besar, khususnya rantaian perindustrian dan bekalan yang mempunyai daya tahan kuat.

Daripada mesin kopi dan penyapu hingga kenderaan elektrik bateri (BEV) dan robot perindustrian, produk buatan China yang berteknologi tinggi mendapat sambutan meluas. Semangat inovasi menjiwai sektor perdagangan luar China.

Selain itu, siri dasar yang diperkenalkan untuk menstabilkan dagangan luar dilaksanakan secara efektif, yang turut membantu mempertingkatkan daya tahan dagangan luar.

Dari perspektif lain, firma asing juga memainkan peranan penting bagi memacu perdagangan luar China.

Pada suku pertama, terdapat lebih 67,000 syarikat asing yang mencatatkan prestasi ketara dalam sektor import dan eksport sekali gus mencipta rekod tertinggi berbanding tempoh sama tiga tahun lepas.

Nilai import dan eksport syarikat asing terus meningkat untuk empat suku berturut-turut, dengan keseluruhannya sebanyak 2.99 trilion yuan (RM1.79 trilion) dari Januari hingga Mac.

Ini jelas menunjukkan bahawa amalan perlindungan perdagangan pasti akan menemui jalan buntu, dan hanya kerjasama terbuka yang boleh menjanjikan masa depan yang lebih baik.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan