FOKUS BERNAMA

BUDAYA UTAMAKAN PEKERJA JULANG BOEHRINGER INGELHEIM MALAYSIA

16/04/2025 03:44 PM

Komitmen tidak berbelah bagi Boehringer Ingelheim Malaysia terhadap kecemerlangan kepimpinan dan kemajuan kerjaya individu, sekali lagi membolehkan syarikat itu menerima pengiktiran Majikan Terbaik di pasaran Malaysia buat tahun ketujuh berturut-turut daripada Top Employers Institute yang berpangkalan di Belanda.

Pengurus Teknikal Kanan (Haiwan Kesayangan, Kesihatan Haiwan) Dr Eddie Tan berkata pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk mewujudkan persekitaran kerja  yang memberdayakan, di mana kakitangan diberi sokongan untuk berkembang, memimpin dan berjaya.

“Pengiktirafan ini benar-benar mencerminkan nilai-nilai syarikat dan bagaimana ia melabur dalam pembangunan pekerjanya.

“Menerusi program kukuh yang mengutamakan kemajuan kerjaya, pembangunan kepimpinan dan kesejahteraan pekerja, kami diperkasa untuk memacu kemajuan bermakna dalam kesihatan haiwan kesayangan sambil mengekalkan kepercayaan doktor haiwan, pemilik haiwan peliharaan dan rakan kongsi yang bekerjasama dengan kami,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

pic-2

Doktor haiwan itu berkata komitmen syarikat terhadap pembangunan bakat telah mengubah kerjayanya sendiri – daripada seorang pengurus teknikal kepada pengurus teknikal kanan yang mampu memberi impak merentas sempadan.

“Dengan menyediakan alat, kepercayaan dan peluang untuk meningkat maju, Boehringer Ingelheim memastikan pekerja seperti saya berkembang seiring dengan misi syarikat untuk memajukan kesihatan haiwan.

“Bagi seseorang yang mengawal selia strategi teknikal di pelbagai pasaran, ‘pelaburan’ dalam latihan dan program kepimpinan ini sangat penting – membekalkan saya dengan keupayaan untuk berinovasi, memberi inspirasi kepada pasukan dan menghasilkan penyelesaian yang bermakna kepada haiwan peliharaan, doktor haiwan dan pemilik haiwan,” katanya.

Tersenarai dalam kalangan majikan terbaik di beberapa negara dan rantau sejak 11 tahun lalu, Boehringer Ingelheim turut menawarkan "kampus maya" yang dikenali sebagai Universiti Boehringer Ingelheim – termasuk Akademi Kepimpinan – yang menyediakan platform pembelajaran secara fizikal dan maya canggih yang boleh diakses oleh 53,500 pekerjanya di seluruh dunia.

Tawaran syarikat itu juga merangkumi tumpuan menyeluruh terhadap kesejahteraan pekerja serta “pelaburan” dalam kesihatan sosial, fizikal, kewangan dan mental demi pertumbuhan dan kebahagiaan jangka panjang para pekerja. Model kerja fleksibel syarikat itu turut menyokong kesejahteraan dan keseimbangan kerja-kehidupan para pekerjanya.

Tan berkata peluang pembelajaran khusus yang paling berharga baginya termasuk program pembangunan kepimpinan, latihan teknikal global dan serantau serta penugasan jangka pendek seperti Program Pengurusan Bakat Serantau, iaitu pengalaman selama enam bulan di pejabat serantau Singapura.

“Secara keseluruhan, program dan peluang ini telah membekalkan saya dengan kemahiran dan pengalaman praktikal yang boleh terus digunakan dalam peranan saya, di samping meningkatkan keupayaan saya untuk memimpin pasukan teknikal dalam persekitaran yang kompleks dan pelbagai budaya,” katanya.

Beliau menambah bahawa pengajaran utama yang membentuk falsafah kepimpinannya berakar pada gabungan nilai teras syarikat – hormat, kepercayaan, empati dan semangat – bersama-sama dengan tumpuan terhadap keterangkuman dan matlamat “Mengubah Kehidupan Selama Bergenerasi”.

“Budaya Boehringer Ingelheim yang menekankan mobiliti dalaman dan pembangunan pemimpin dari dalam, memberikan keyakinan bahawa pada masa depan saya di sini, saya akan terus mengimbangi cita-cita dengan empati, dan inovasi dengan integriti. 

“Budaya kepimpinan berempati bukan sahaja mengurangkan keletihan tatkala saya memajukan kerjaya, tetapi juga meningkatkan kesetiaan dan prestasi pasukan. Nilai-nilai ini memberi inspirasi kepada saya untuk membawa pengajaran ini ke depan, memastikan generasi pemimpin seterusnya turut bersedia untuk memacu perubahan yang bermakna,” katanya.

 

PEMBANGUNAN PEKERJA MELALUI PROGRAM KEPIMPINAN

 

Bagi Pengurus Jualan Daerah Boehringer Ingelheim Malaysia Lee Yuan Ding, dedikasi syarikat terhadap pembangunan pekerja bukan sahaja terserlah melalui program kepimpinan yang berstruktur, malah juga melalui persekitaran yang menyokong pembelajaran dan perkembangan berterusan.

Beliau berkata syarikat memberi penekanan yang tinggi terhadap penyediaan peluang kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran dan mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam situasi sebenar.

“Di Boehringer Ingelheim, latihan dan pembangunan sentiasa menjadi tumpuan utama. Para pekerja diberikan peluang yang mencukupi untuk melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran melalui bengkel rasmi dan sesi latihan,” katanya.

pic-3

Tambah Lee, yang membezakan syarikat ini bukan sahaja ketersediaan program pembelajaran, tetapi juga platform praktikal yang membolehkan pekerja mempamerkan dan meningkatkan kemahiran tersebut.

“Selain latihan formal, kami digalakkan untuk mengamalkan apa yang telah kami pelajari. Satu inisiatif unik ialah Latihan Inisiatif Fellowship Boehringer Ingelheim (BI FIT) yang membolehkan pekerja memohon tugasan mencabar di luar peranan biasa mereka. Persekitaran seperti ini benar-benar membantu kami berkembang, dari segi profesional dan peribadi,” jelasnya.

Lee percaya bahawa inisiatif seperti itu memberdayakan pekerja untuk bertanggungjawab atas pembangunan diri sendiri, sekali gus memupuk budaya pembelajaran berterusan sambil mempersiapkan mereka untuk peranan kepimpinan pada masa depan dalam organisasi.

Dari segi strategi kepimpinan yang kukuh, Lee percaya pada kepentingan “melabur” dalam pembangunan pekerja, terutamanya dalam dunia jualan perubatan yang pantas, dengan mewujudkan persekitaran yang berasaskan kepercayaan tinggi dalam menguruskan pasukan jualan yang dinamik di lapangan.

“Bagi saya, membentuk pasukan yang padu adalah sangat penting, terutamanya dalam persekitaran jualan di mana cabaran merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

“Saya kini mengetuai pasukan seramai sembilan orang. Yang mengukuhkan kami ialah budaya yang dibina atas asas kepercayaan dan sokongan bersama,” katanya, menambah bahawa pembentukan pasukan yang kukuh seperti itu tidak berlaku dalam sekelip mata kerana setiap individu mempunyai personaliti dan gaya kerja yang berbeza.

Sementara itu, Ketua Jualan Kevin Ha yang turut memainkan peranan selaku ketua pemasaran pada 2024, berkata pemberdayaan dan kepercayaan terhadap pasukan untuk memberikan prestasi terbaik adalah amat penting dan merupakan teras di belakang setiap kejayaan yang dicapai oleh pasukan.

“Sokongan yang saya terima daripada penyelia dan rakan-rakan sekerja juga wajar diberi penghargaan kerana mereka memahami peranan saya dan kesediaan mereka untuk membantu. 

“Ini memperkukuh kepercayaan saya untuk terus bersikap terbuka kerana kedua-dua pasukan mempunyai perspektif yang berbeza, dan kami perlu memastikan komunikasi yang lancar dan tepat pada masanya.

"Walaupun kaedah atau strategi yang digunakan untuk mencapai matlamat kami mungkin berbeza, objektif utama atau hasil akhirnya tetap sama," katanya.

Ha percaya bahawa persekitaran yang terbuka dan inklusif ini bukan sahaja memperkukuh semangat berpasukan tetapi juga meningkatkan keupayaan menyelesaikan masalah, membolehkan pasukan menyesuaikan diri dengan lebih berkesan terhadap permintaan industri kesihatan yang sentiasa berubah.

"Pada akhirnya, budaya kepercayaan tinggi inilah yang memperkasakan kami untuk saling menyokong dan memberikan nilai terbaik kepada pelanggan serta rakan kerjasama," katanya.

 

PENDEKATAN BERTERASKAN PEKERJA

Tan berkata pendekatan berteraskan pekerja Boehringer Ingelheim memupuk persekitaran kerjasama dan inovasi merentas pasukan.

Katanya, dengan menghargai setiap suara, meruntuhkan tembok antara jabatan dan menyelaraskan matlamat bersama, syarikat memastikan semua pasukan di rantau ini dapat bertindak balas dengan cepat terhadap cabaran yang muncul.

"Di Boehringer Ingelheim, kami diiktiraf kerana keunggulan dalam menghargai pekerja, inovasi dan kecemerlangan dalam menyampaikan nilai kepada pelanggan dan pesakit.

"Pada masa depan, Boehringer Ingelheim bersedia untuk mengukuhkan lagi komitmennya terhadap pembangunan berfokuskan pekerja dan inovasi yang berpandangan ke depan," katanya.

Tan berkata Boehringer Ingelheim akan terus menyokong pembangunan pekerja dan inovasi dengan melabur dalam program latihan lanjutan, memupuk budaya penambahbaikan berterusan dan menyediakan lebih banyak peluang untuk pertumbuhan kerjaya.

"Dengan menggabungkan pembangunan pekerja bersama-sama inovasi industri secara menyeluruh, Boehringer Ingelheim akan mengukuhkan peranannya sebagai kuasa transformasi dalam industri.

"Pekerja seperti saya akan menikmati kemajuan dalam kerjaya apabila kami menangani cabaran-cabaran penting, manakala syarikat memperoleh kelebihan kompetitif menerusi tenaga kerja yang bermotivasi dan bersedia untuk masa depan," tambahnya.

Ha turut berkata bahawa keutamaan terhadap pesakit adalah teras kepada segala yang dilakukan di Boehringer Ingelheim.

"Pemimpin kami sentiasa menekankan kepentingan mengintegrasikan pandangan pesakit dalam kerja kami, tanpa mengira peranan atau fungsi dalam organisasi.

"Dengan komitmen ini, kami sentiasa berusaha memastikan pesakit mempunyai akses kepada rawatan yang mereka perlukan serta bertindak proaktif dalam menyokong penyedia penjagaan kesihatan dan komuniti setiap kali timbul cabaran," katanya.

 

KEPELBAGAIAN, KESAKSAMAAN DAN KETERANGKUMAN

Sementara itu, Ha berkata penekanan Boehringer Ingelheim terhadap kesejahteraan pekerja telah mewujudkan budaya tempat kerja yang menyokong dan berdaya tahan dengan menyediakan sumber serta sokongan yang diperlukan bagi mengurus tekanan, mengekalkan keseimbangan kerja dan kehidupan serta kekal bermotivasi.

“Budaya kesejahteraan ini bukan sahaja mengubah suasana tempat kerja, malah memperkukuh daya tahan organisasi, meningkatkan kadar pengekalan pekerja dan produktiviti keseluruhan yang akhirnya memberi manfaat kepada pekerja dan organisasi. Ini dapat dilihat melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh syarikat, seperti program ASKANCares, satu inisiatif kesejahteraan berstruktur yang aktivitinya dibangunkan oleh pekerja untuk pekerja sendiri.

“Satu daripada budaya kerja kami ialah DE&I (Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Keterangkuman), yang menggalakkan rasa hormat terhadap perspektif yang pelbagai serta memastikan semua pekerja berasa dihargai, disokong dan diberikan nilai.”

pic-4

Tan turut menyatakan bahawa komitmen Boehringer Ingelheim terhadap pengaturan kerja yang fleksibel telah membolehkan beliau mengurus tanggungjawab rentas negara dengan lebih cekap.

“Contohnya, mengimbangi zon masa dan aktiviti teknikal di tapak dengan penggunaan alat kolaborasi maya, membolehkan komunikasi antara pasukan berjalan lancar. Fleksibiliti ini mengurangkan tekanan logistik dan membolehkan saya memberi keutamaan kepada tugasan penting tanpa menjejaskan keseimbangan kerja dan kehidupan,” katanya.

Dasar berteraskan pekerja yang diamalkan oleh Boehringer Ingelheim Malaysia terus menjadikan syarikat ini sebagai majikan yang benar-benar mengutamakan kesejahteraan pekerja, terutamanya bagi ibu bapa yang bekerja dan penjaga.

Telah menjadi sebahagian daripada keluarga Boehringer Ingelheim Malaysia selama 13 tahun, Lee secara peribadi mendapat manfaat daripada dasar progresif syarikat yang menyokong keseimbangan kerja dan kehidupan serta penjagaan keluarga - mencerminkan komitmen syarikat untuk mewujudkan persekitaran kerja yang inklusif dan menyokong.

Beliau berkata syarikat juga memastikan ibu yang kembali bekerja selepas bersalin menerima sokongan penuh di tempat kerja, termasuk penyediaan kemudahan penyusuan yang selesa dan mudah diakses.

Selain sokongan bagi ibu bersalin, Lee berkata syarikat turut menawarkan Cuti Penjagaan Keluarga, satu kemudahan yang membolehkan pekerja menjaga orang tersayang apabila diperlukan.

“Sebagai contoh, jika seseorang mempunyai ibu bapa yang sudah tua dan memerlukan perhatian atau penjagaan di rumah, mereka boleh memohon cuti penjagaan keluarga dan meluangkan masa bersama-sama mereka. Ini adalah dasar yang prihatin dan benar-benar menghargai tanggungjawab terhadap keluarga,” katanya.

Selaras dengan usaha DE&I, Boehringer Ingelheim turut menyediakan Adoption Leave bagi memastikan persekitaran kerja yang adil dan inklusif untuk semua ibu bapa, tanpa mengira cara mereka membina keluarga.

Lee juga menekankan usaha syarikat dalam menyokong kesihatan mental, termasuk akses kepada platform kesejahteraan khusus yang dikenali sebagai Boehringer Ingelheim Friends, yang menghubungkan pekerja dengan sokongan profesional, sama ada melalui aplikasi atau panggilan telefon secara langsung.

Beliau percaya bahawa inisiatif-inisiatif ini mencerminkan keprihatinan sejati Boehringer Ingelheim terhadap pekerjanya - memperkasa mereka untuk terus berkembang secara profesional sambil menyeimbangkan keperluan peribadi dan keluarga.

“Di sini, bukan sekadar bekerja - syarikat benar-benar mengambil berat terhadap kami sebagai individu, dan itu mendorong kami untuk memberikan yang terbaik setiap hari,” katanya.

Pendekatan berteraskan manusia ini mencerminkan komitmen lebih luas Boehringer Ingelheim untuk mengubah kehidupan generasi ke generasi, bukan sahaja melalui penjagaan kesihatan yang inovatif tetapi juga dengan memupuk tempat kerja dengan setiap individu diperkasa untuk berkembang maju.

Yang mendasari semua ini ialah rangka kerja strategik syarikat, Winning with People, yang merangkumi keperluan pekerja dengan memberi tumpuan kepada menyokong, melabur dan membangunkan setiap individu. Dengan menjadikan manusia sebagai pusat bagi segala usahanya, Boehringer Ingelheim terus memupuk budaya yang membolehkan matlamat dan potensi bergerak seiring.

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan