AM

DOF SASAR PENDARATAN TUNA CECAH 150,000 TAN METRIK MENJELANG 2030

15/04/2025 09:02 PM

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyasarkan pendaratan tuna mencecah 150,000 tan metrik menjelang 2030 melalui perancangan Pelan Strategik Industri Tuna 2021-2030.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata sasaran itu akan disokong oleh pembangunan infrastruktur, pematuhan piawaian antarabangsa dan penghasilan produk berinovasi berasaskan tuna tempatan.

Beliau berkata industri tuna bukan sahaja strategik dari sudut ekonomi dan keterjaminanan makanan negara malah berpotensi besar menjadi antara sumber kekayaan baharu negara. 

"Sehingga 2023, pendaratan tuna oseanik Malaysia direkodkan sebanyak 3,018.42 tan metrik, melibatkan aktiviti perikanan di Lautan Hindi serta kawasan laut dalam Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Spesies utama tuna oseanik termasuk Yellowfin, Albacore, Big Eye dan Skipjack," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Adnan berkata kategori tuna-like yang turut menyumbang kepada industri tersebut mencatatkan pendaratan sebanyak 13,909.85 tan metrik merangkumi spesies seperti mersuji, layaran, barracuda oseanik, ikan layar oseanik, marlin dan todak.

Beliau berkata pendaratan tuna di Pulau Pinang bagi tahun 2024 juga mencatatkan perkembangan positif dengan jumlah sebanyak 431 tan metrik.

"Kita mahu melihat bukan hanya jumlah pendaratan tuna yang meningkat tetapi juga peningkatan dari segi nilai komersial dan penerimaan pengguna terhadap produk tuna.

"Inovasi seperti 'tuna golek' adalah antara usaha memperkenal kaedah penyediaan sihat, moden dan menarik yang mampu menembusi pelbagai segmen pasaran," katanya.

Tuna Golek diperkenal oleh syarikat bimbingan DOF, Dr Tuna Sdn Bhd, di bawah program myAgropreneur Perikanan (myAP), merupakan tuna panggang yang mengekalkan rasa asli ikan tanpa penggunaan minyak berlebihan sekali gus menjadikan ia sebagai alternatif makanan sihat untuk pengguna. 

Malaysia memiliki sumber tuna yang signifikan terdiri daripada dua kategori utama iaitu oseanik dan neritik. 

Tuna oseanik seperti Yellowfin, Bigeye, Skipjack dan Albacore lazimnya ditangkap di perairan Lautan Hindi serta kawasan laut dalam Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala tuna neritik pula seperti Aya Hitam, Tongkol dan Aya Kurik ditangkap di pelantar benua dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan