KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin yang merendah diri, tenang dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat serta negara mengatasi kepentingan peribadi.
Mohamed Khaled yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Tun Abdullah selama lima tahun bermula 2004 hingga 2009, berkata beliau mengenali Allahyarham bukan sahaja melalui tugas rasmi tetapi juga secara peribadi.
"Allahyarham seorang yang penyabar, budiman dan tidak suka bermusuh. Beliau juga sentiasa meletakkan kepentingan negara, rakyat dan parti mengatasi segala kepentingan lain.
“Kita melahirkan rasa sedih dan dukacita atas kepulangan ke rahmatullah bekas Perdana Menteri kita yang kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Beliau berkata pengorbanan serta sumbangan besar Tun Abdullah kepada negara akan sentiasa dikenang rakyat Malaysia.
Beliau juga memuji tindakan Tun Abdullah yang berundur daripada jawatan tertinggi negara tanpa sebarang kekecohan.
Mohamed Khaled turut berkongsi kenangan peribadi ketika pertama kali dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi oleh Allahyarham dan kemudian sebagai Menteri Pengajian Tinggi.
"Sepanjang tempoh itu, beliau sentiasa menyokong segala usaha saya, terutamanya dalam memperjuangkan pendidikan dan memartabatkan agenda bumiputera," katanya.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi dan telah selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara tengah hari tadi mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
--BERNAMA