JENAYAH & MAHKAMAH

KERANI RUGI LEBIH RM1 JUTA TERPERDAYA PELABURAN TIDAK WUJUD

15/04/2025 12:14 PM

KUANTAN, 15 April (Bernama) -- Seorang kerani wanita mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas terperdaya dengan pelaburan tidak wujud yang disertainya menerusi media sosial.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pada mulanya wanita berusia 56 tahun itu telah tertarik dengan satu pelaburan saham di laman Facebook dan menekan pautan iklan tersebut sebelum menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek. 

Beliau berkata suspek kemudiannya mengarahkan mangsa memuat naik satu aplikasi pelaburan dikenali sebagai ‘Quantum', yang kononnya membolehkan pelaburan dalam saham tempatan dan Amerika Syarikat.

“Wanita itu seterusnya dihubungi oleh nombor WhatsApp lain yang mendakwa sebagai khidmat pelanggan serta diarahkan untuk membuat pindahan wang. Dia melakukan 18 transaksi ke tujuh akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM1 juta antara 12 Feb dan 26 Mac lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata kerani wanita itu telah menggunakan simpanan peribadi, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pinjaman bank untuk membuat pelaburan tersebut.

Bagaimanapun dia hanya mendapat pulangan RM20,000 daripada jumlah pelaburan yang dibuat dan menyedari telah ditipu, sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan