IPOH, 15 April (Bernama) -- Usaha meningkatkan kutipan hasil negeri akan terus diterokai sementara perbelanjaan dikawal secara berhemat, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah kutipan hasil bagi negeri Perak pada 2024 merekodkan angka melebihi sasaran mencecah RM1.3 bilion, meningkat RM118.5 juta berbanding kutipan hasil pada 2023.
Sultan Nazrin bertitah untuk tiga tahun berturut-turut, negeri itu berjaya menutup Akaun Hasil Disatukan dengan kedudukan surplus (sebelum diaudit), iaitu RM45.6 juta pada 31 Dis 2024.
“Beberapa inisiatif dilaksanakan bertujuan menerokai potensi baharu hasil negeri, antaranya pemantapan pengurusan serta penguatkuasaan pengurusan sumber air di bawah Enakmen Sumber Air Perak 2023, dan mengenakan Caj Perkhidmatan Tempatan di bawah Enakmen Hotel 2023.
“Royalti industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dijangka memberikan sumbangan hasil baharu yang signifikan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Selain itu, Sultan Nazrin bertitah sebagai pendekatan strategik ke arah mengembangkan potensi ekonomi biru secara mampan, Hala Tuju Ekonomi Biru dilancarkan agar tercapai hasrat untuk memakmurkan sumber laut dan mengurus sumber marin secara lestari.
“Usaha membangunkan sektor ekonomi biru akan direalisasikan melalui pembangunan sektor utama dan pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi serta pemerkasaan pengurusan pemuliharaan marin,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda bertitah usaha membangunkan bandar pintar dirintis, melalui Blueprint Bandar Pintar 2040 yang menekankan elemen penduduk, seperti Majlis Perbandaran Manjung dan Majlis Daerah Kampar telah berjaya meraih status Smart City Early Adopters menerusi Anugerah Penarafan Bandar Pintar 2024.
“Sementara itu, Majlis Bandaraya Ipoh akan menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Cities Series Windows: Smart Green ASEAN Cities 2025 yang melibatkan 12 bandar raya negara anggota ASEAN.
“Amatlah dihargai sokongan Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang bersetuju menyediakan peruntukan kewangan untuk menjayakan pembangunan bandar pintar di negeri Perak,” titah baginda.
Baginda juga bertitah pelbagai usaha dirintis untuk meningkatkan tahap pencapaian dan prestasi anak-anak Perak dengan 17 program dilaksanakan bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
“Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) melipatgandakan usaha dengan melaksanakan sembilan program peningkatan kemahiran, dalam usaha mahu memenuhi hasrat menjadikan Perak sebagai koridor pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang berupaya melahirkan modal insan lebih kompetitif.
“Bantuan insentif siswa disediakan kepada pelajar kelahiran Perak, daripada keluarga berpendapatan tidak melebihi RM7,500 sebulan, untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Pada 2024 lebih 6,324 mahasiswa anak Perak telah menikmati insentif ini,” titah baginda.
Sultan Nazrin juga menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Perak yang berjaya memungut 35 pingat emas, 38 perak dan 56 gangsa, semasa berlangsungnya Sukan Malaysia 2024, meletakkan negeri Perak menduduki tempat ketujuh, pencapaian lebih baik daripada edisi sebelumnya.
-- BERNAMA