IPOH, 15 April (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin bertitah sikap pemimpin dua institusi agama, iaitu Masjid Al-Falah, Subang Jaya dan Kuil Sri Maha Kaliamman, Jalan Putra Harmoni di Selangor membantu mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights tanpa mengira identiti kaum dan agama wajar dijadikan teladan.
Sultan Nazrin bertitah sifat terpuji pemimpin kedua-dua rumah ibadat itu memberikan harapan dan mengubati kebimbangan masyarakat terhadap hubungan kaum di negara ini dan hakikatnya, rakyat biasa tanpa diracuni diayah politik memecah-belahkan, boleh hidup secara aman serta harmoni.
"Jadikan teladan, pemimpin dua rumah ibadat itu membuka pintu rumah ibadat masing-masing kepada mangsa dan petugas, tanpa mengira identiti kaum atau agama untuk dijadikan tempat perlindungan, malah dibenarkan umat Islam menunaikan solat di dalam premis kuil," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Darul Ridzuan Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Sultan Nazrin turut menyentuh mengenai isu pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliaman di Kuala Lumpur untuk pembinaan sebuah masjid yang dipolemikkan, diperdebatkan dan dipolitikkan sehingga menjentik emosi yang meresahkan rakyat.
"Perkara mengenai agama dan kaum semakin disensasikan, semakin ditunggang oleh mereka yang mahu diiktiraf sebagai wira kaum dan wira agama, meskipun berpotensi mencetuskan kemarahan dan rasa permusuhan sesama warga.
“Sangat mendukacitakan politik kebencian dijadikan pilihan dan dikhuatiri negara bakal menghadapi warga yang tidak lagi bersatu, malah membenci dan memusuhi antara satu sama lain,” titah baginda.
Sementara itu, baginda bertitah insiden pembongkaran aktiviti kilang memproses sisa elektronik atau e-waste yang beroperasi secara haram di negara ini sewajibnya mencelikkan mata pelbagai pihak berkuasa untuk mempergiat usaha pemantauan serta penguatkuasaan secara bersepadu, pantas dan tegas.
“Membuka kilang memproses e-waste tanpa permit merupakan perbuatan jenayah dan pelaku jenayah itu didorong kepentingan sempit untuk meraih keuntungan tanpa mempedulikan kesan buruk kepada ekosistem kehidupan.
“Pada 15 Feb 2025, Perak dikejutkan apabila barangan bernilai RM1.3 bilion disita melalui serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah kilang memproses e-waste yang beroperasi secara haram di Sungai Siput.
“Insiden ini mengundang persoalan, bagaimana pelbagai pihak berkuasa boleh terlepas pandang tentang kewujudan sebuah kilang yang tersergam, boleh beroperasi secara haram di kawasan terbuka?” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah usaha gigih dan komitmen berterusan pelbagai pihak telah berjaya menoktahkan kemiskinan tegar melibatkan 8,986 ketua isi rumah (KIR) di Perak sepanjang tahun lepas.
Baginda bertitah kejayaan itu merupakan hasil pelaksanaan pelbagai program kesejahteraan rakyat yang merangkumi pemadanan pekerjaan, bantuan peralatan perniagaan, latihan kemahiran serta program keusahawanan.
“Antara inisiatif yang memberikan impak positif ialah Program Pusat Sehenti Sejahtera Sosial Negeri Perak yang telah dilaksanakan dengan jayanya di semua daerah.
“Program ini berjaya menghimpunkan di bawah satu bumbung, lebih 30 agensi pemberi bantuan, memudahkan capaian perkhidmatan dan bantuan yang diperlukan oleh rakyat miskin,” titah baginda.
-- BERNAMA