Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Visi Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam merealisasikan industri halal sebagai sumber ekonomi negara menjadikan Malaysia sebagai peneraju industri halal global sehingga masa kini, menurut Halal Development Corporation (HDC).
Pengerusinya, Khairul Azwan Harun berkata Perdana Menteri kelima itu merupakan tokoh penting yang mencadangkan dan mencetuskan idea penubuhan HDC pada 2006 serta memainkan peranan ketara dalam memajukan industri halal di Malaysia.
“Dengan berat hati dan penuh dukacita, seluruh ahli lembaga pengarah, pengurusan dan warga kerja HDC mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Tun Abdullah.
“Kami amat menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam mengembangkan ekonomi halal negara. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Abdullah atau lebih dikenali sebagai "Pak Lah", menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 7.10 malam, Isnin.
Dalam pada itu, Khairul Azwan berkata, HDC akan terus memperjuangkan visi Abdullah bagi memantapkan Malaysia sebagai pusat halal global.
HDC yang ditubuhkan pada 18 Sept, 2006 merupakan peneraju utama kepada pembangunan ekosistem dan infrastruktur halal yang bersepadu dan komprehensif serta kini berada di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).
Abdullah yang mengumumkan penubuhan HDC sewaktu Forum Halal Sedunia pada 2006, mewujudkan satu platform khas bagi membolehkan negara muncul sebagai peneraju industri tersebut dalam landskap global bersandarkan kekuatan Malaysia, terutamanya dalam pensijilan halal.
-- BERNAMA