KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Malaysia kekal komited untuk terus menjalinkan kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dan China bagi melindungi kepentingan ekonomi berikutan ketegangan berkaitan tarif balas AS yang semakin meningkat menjelang lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping bermula esok.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan sedang melaksanakan strategi dua hala, menjalin kerjasama bilateral dan multilateral dengan rakan dagang utama di samping mengekalkan hubungan terbuka dengan Washington dan Beijing.
“Kami akan terus mengadakan libat urus dengan kerajaan AS di setiap peringkat, dan pada masa sama, kami terbuka untuk meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan China dan ASEAN,” katanya pada sidang media mengenai Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) di sini hari ini.
Beliau berkata perbincangan dengan pegawai kanan China telah diadakan termasuk mesyuarat secara maya bersama Kongres Rakyat Kebangsaan China.
Sambil mengulangi pendirian Malaysia mengenai tarif AS, katanya Malaysia tidak akan bertindak balas dengan mengenakan tarif balas sebaliknya akan memfokuskan untuk mengurangkan kadar tarif serta memperluas senarai pengecualian bagi eksport Malaysia.
Tengku Zafrul berkata kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah termasuk rundingan dengan rakan sejawat AS dan pihak industri utama seperti semikonduktor dan pembuatan bernilai tinggi yang sebahagian besarnya disokong oleh firma utama AS.
“Mesyuarat dengan syarikat terkemuka AS seperti Intel dan Oracle telah diadakan, yang telah mengesahkan komitmen mereka kepada Malaysia meskipun dalam landskap tarif baharu ini.
“Banyak syarikat ini bekerjasama dengan kami untuk menonjolkan bagaimana rantaian bekalan bersepadu yang melibatkan Malaysia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Mengenai penyelarasan multilateral, beliau berkata Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan rakan ASEAN bagi mewujudkan pendirian bersama yang kukuh.
“Negara ASEAN akan meneruskan penglibatan bilateral dan multilateral…dan kami telah bersetuju dengan prinsip multilateralisme, dan tidak akan bertindak balas dengan langkah balas.
“Sebaliknya, kami akan terus menyokong perdagangan yang terbuka dan adil,” katanya.
Tengku Zafrul berkata beberapa sektor telah dikecualikan daripada tarif AS, terutamanya dalam kategori elektrik dan elektronik, yang merupakan sebahagian besar daripada eksport Malaysia.
Bagaimanapun, katanya kira-kira 70 peratus produk yang terjejas masih tertakluk kepada tarif 10 peratus.
“Bagi menangani kebimbangan pengeksport, pasukan petugas yang terdiri daripada agensi kerajaan dan pihak berkepentingan industri telah ditubuhkan untuk menilai kesan langsung dan tidak langsung tarif berkenaan serta merumuskan langkah sokongan termasuk bantuan kewangan dan penyesuaian dasar pelaburan negara.
"Kerajaan telah melibatkan pihak industri, mengenal pasti isu utama dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan dan badan berkaitan lain untuk menentukan langkah mitigasi yang sesuai," katanya
-- BERNAMA