AM

PENDUDUK KG MELAYU BUKIT BATU ALAMI BANJIR KILAT HAMPIR SETIAP BULAN

14/04/2025 08:58 PM

KULAI, 14 April (Bernama) -- Penduduk Kampung Melayu Bukit Batu di sini menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi menangani isu banjir kilat di kawasan itu yang didakwa berlaku hampir setiap bulan sejak awal tahun ini.

Muhammad Amirul Aiman Hassni, 26, berkata banjir kilat yang berulang dipercayai berpunca daripada masalah sistem perparitan dan telah menjejaskan kehidupan seharian lebih 50 penduduk kampung selain mengakibatkan kerosakan harta benda.

Dia berkata kejadian terbaru pada Sabtu lepas apabila kampung berdekatan Sungai Ulu Pontian itu sekali lagi diuji dengan banjir kilat yang kali ini mengambil masa lebih lama untuk surut.

“Air naik hingga paras lutut dan surut sekitar 7 malam semalam, biasanya kalau banjir kilat sekejap sahaja (surut) tapi kali ini agak lama. 

“Kalau diikutkan dulu, dalam setahun satu atau dua kali sahaja dan kali terakhir (banjir) pada 2023 tetapi tahun ini hampir setiap bulan,” kata juruteknik itu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Muhammad Amirul berkata ketua kampung serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) telah menjalankan tanggungjawab dengan mengajukan aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus menggesa agar tindakan segera diambil.

“Saya berpendapat daripada beri kami bantuan dan sebagainya lebih baik wang tersebut digunakan untuk memperbaiki sistem perparitan di sini,” katanya.

Sementara itu, Nur Azimah Mohd Mahiyidin, 36, berkata sambutan Aidilfitri penduduk kampung kali ini sederhana sahaja memandangkan banjir kilat turut berlaku pada Ramadan lepas yang menyebabkan banyak kelengkapan rumah rosak.

“Kami berharap pihak terlibat dapat cari jalan penyelesaian, kesian penduduk terpaksa menanggung kerugian akibat harta benda musnah dan tidak boleh digunakan lagi,” kata pembantu perawat kesihatan itu.

Nur Farahani Mamat, 30, pula berkata penduduk di kampungnya itu kini sentiasa berjaga-jaga setiap kali hujan lebat.

“Bila makin tinggi kita letak barang (untuk diselamatkan) makin tinggi pula air naik, barang memang banyak rosak, kalau hujan lebat lebih setengah jam kami sudah tidak sedap hati,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan