AM

KEMERIAHAN SONGKRAN DI WAT PIKULTHONG, CERMINAN KEHARMONIAN MASYARAKAT SIAM DI TUMPAT

14/04/2025 11:54 AM

TUMPAT, 14 April (Bernama) -- Masyarakat berketurunan Siam di Kampung Terbok di sini tidak melepaskan peluang meraikan Pesta Songkran, atau lebih dikenali sebagai “pesta air”, yang berlangsung meriah di perkarangan Wat Pikulthong.

Songkran merupakan perayaan Tahun Baharu tradisional bagi masyarakat Thailand dan beberapa negara di Asia Tenggara, termasuk masyarakat Siam di Malaysia. Ia lazimnya disambut pada April setiap tahun, dengan tarikh utama antara 13 hingga 15 April.

Tinjauan Bernama mendapati lebih 500 penduduk berbangsa Siam bersama ahli keluarga masing-masing hadir memeriahkan pesta tahunan selama tiga hari itu, yang bermula semalam sempena sambutan Tahun Baharu Siam.

Seorang pengunjung, Rajoo Natrapong, 40, dari Jubakar Darat, berkata beliau membawa tiga anaknya untuk turut serta dalam kemeriahan pesta yang amat dinanti-nantikan saban tahun oleh komuniti Siam tempatan.

“Setiap tahun, masyarakat Siam di sini tidak sabar menunggu ketibaan Songkran. Kanak-kanak dan remaja paling teruja kerana mereka bebas bermain dan menyimbah air tanpa dimarahi.

"Kini, ramai memilih menggunakan senapang air kerana lebih mesra, malah air yang digunakan turut dicampur dengan bedak bagi menghasilkan bau yang wangi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, seorang guru, Mei Ling, 50, menyifatkan sambutan Songkran kali ini amat bertepatan dengan keadaan cuaca panas yang sedang melanda negara.

“Saya lihat ramai pengunjung dari luar Kelantan turut hadir dan mereka begitu teruja melihat keharmonian masyarakat Siam di sini yang hidup aman serta bergaul mesra dengan kaum lain.

“Sesetengah orang memilih untuk menyambut Songkran di Thailand, namun bagi saya, lebih bermakna jika diraikan di tanah air sendiri,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan ucapan sempena sambutan Tahun Baharu Siam, menyeru masyarakat Siam agar terus memperkukuh perpaduan serta semangat kasih sayang dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menegaskan pentingnya rakyat menolak fitnah, prejudis dan sentimen perpecahan yang hanya akan merugikan semua pihak.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan