KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Polis merampas lebih 10,000 kilogram (kg) minyak sawit mentah dan 5,400 liter diesel bernilai RM207,470 dalam Op Palma di sekitar Rasah, Negeri Sembilan, bermula semalam hingga hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata serbuan pada 8 pagi semalam hingga 6 pagi tadi turut menahan empat lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 63 tahun serta menyita lima lori pelbagai jenis yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan.
Beliau berkata risikan dan pemantauan operasi bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu dilakukan di kawasan lapang berhampiran Taman Desa Rasah bagi membanteras kegiatan penyeludupan minyak sawit mentah menggunakan kenderaan perdagangan di jalan raya.
“Berdasarkan maklumat risikan, pasukan serbuan melakukan pemantauan kira-kira 2 petang dan mengesan tiga lelaki sedang memindahkan cecair disyaki minyak sawit antara dua lori.
“Pemeriksaan terhadap lori pertama menemukan lima tangki simpanan pukal (IBC) mengandungi kira-kira 4,000 kg minyak sawit, manakala lori kedua mengandungi enam tangki IBC dengan 5,000 kg minyak sawit, sebuah pam bermotor lengkap dengan hos serta satu alat penimbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata hasil soal siasat terhadap dua suspek, polis menemukan dua lagi lori di lokasi berasingan yang mengandungi 30 kg minyak sawit dan satu pam bermotor bersama hos manakala sebuah lagi lori mengandungi 1,000 kg minyak sawit serta satu pam bermotor.
“Pada 4 petang, pasukan serbuan kedua menemukan lori kelima yang diparkir dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berhampiran rumah kedai di Lorong Bayan 6/1 dan pemeriksaan lanjut mendapati bahagian penyimpanan di belakang lori itu tidak berkunci dan mengandungi enam tangki IBC dengan anggaran 5,400 liter minyak diesel,” katanya.
Beliau berkata kesemua yang ditahan disiasat mengikut Kaedah 5 Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005 kerana memiliki minyak sawit tanpa lesen sah, manakala lima lori bersama muatan minyak sawit dan diesel serta peralatan mengepam telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban untuk tindakan lanjut.
Nilai rampasan itu termasuk lori pertama bersama muatan berjumlah RM42,000, lori kedua dengan peralatan dan muatan (RM58,500), lori ketiga (RM33,090), lori keempat (RM26,000) dan lori kelima bersama diesel (RM47,880).
“Kesemua rampasan dan tangkapan diserahkan kepada pihak MPOB Wilayah Tengah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Seremban untuk tindakan lanjut mengikut Kaedah 5 Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
-- BERNAMA