PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Malaysia akan mempelawa Thailand iaitu pengeluar minyak sawit ketiga terbesar dunia untuk menyertai Dialog Perdagangan Perhutanan, Pertanian dan Komoditi (FACT) pada masa hadapan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata jemputan itu bertujuan memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara pengeluar di samping menyifatkan penyertaan negara itu adalah penting.
Ini memandangkan Thailand juga ialah antara pengeluar utama komoditi seperti minyak sawit dan getah, namun tidak tersenarai sebagai negara peserta Dialog FACT ketika ini, katanya.
“Thailand memang belum lagi (menjadi negara peserta Dialog FACT) namun kita akan menjemputnya. Dahulu negara itu pernah dijemput namun tidak dapat hadir.
“Bagaimanapun sekarang, apabila semua negara pengeluar (ada) bersama-sama, Dialog FACT boleh menjadi satu platform yang sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum FACT 2025 di sini, hari ini.
Thailand ialah pengeluar minyak sawit ketiga terbesar dunia dan berdasarkan data terkini, negara itu menghasilkan kira-kira 3.7 juta tan minyak sawit pada 2024/2025, menyumbang sekitar empat peratus kepada pengeluaran global.
Kedudukan itu meletakkan Thailand selepas Indonesia dan Malaysia yang masing-masing menyumbang 59 peratus dan 24 peratus kepada pengeluaran dunia.
Johari berkata Dialog FACT memberi ruang kepada negara pengeluar seperti Malaysia dan Indonesia untuk berkongsi pengalaman masing-masing dalam menguruskan industri komoditi secara mampan selain mendengar pandangan daripada negara pembeli.
“Indonesia berkongsi pengalaman mereka, Malaysia juga sedemikian, begitu juga negara pengeluar lain. Negara pembeli pula akan menyumbang dari segi keperluan dan jangkaan mereka.
“Daripadanya kita boleh buat perbandingan dan susun strategi bersama. Saya percaya, dalam sedikit masa lagi, semua pihak akan menerima dan mengamalkan prinsip kelestarian ini,” katanya.
Forum FACT 2025 yang berlangsung buat kali pertama di Malaysia menghimpunkan pelbagai negara pengeluar dan pembeli utama dunia untuk membincangkan isu berkaitan komoditi, kemampanan dan perdagangan global.
Kementerian Perladangan dan Komoditi tahun ini menjadi tuan rumah kepada Forum FACT 2025 yang bermula hari ini hingga 17 April, bertemakan ‘Meningkatkan Sokongan Kepada Pekebun Kecil’.
Tumpuan utama forum ini antaranya mesyuarat dua hala antara kerajaan Malaysia dan United Kingdom (UK), majlis perasmian serta lawatan turun padang ke Pulau Carey bagi sesi libat urus dengan pekebun kecil yang diperakui Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) termasuk komuniti orang asli Mah Meri.
Forum itu juga akan mengetengahkan sesi perbincangan dan perkongsian ilmu yang berterusan sepanjang acara itu berlangsung.
Forum FACT 2025 akan meneruskan kemajuan yang telah dicapai menerusi dialog terdahulu, terutamanya Forum FACT 2024 di Bali, Indonesia untuk meningkatkan sokongan kepada pekebun kecil dalam peralihan menuju sistem pengeluaran yang mampan dan berdaya tahan.
Dialog FACT dianggotai oleh 28 negara yang terdiri daripada 14 negara pengeluar termasuk Malaysia, Indonesia, Brazil, Cameroon, Colombia, Ghana, Liberia dan Nigeria, dan 14 negara pengguna seperti UK, Belgium, Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Jerman, Amerika Syarikat dan Jepun, serta Kesatuan Eropah (EU).
-- BERNAMA