AM

KUSKOP PERKENAL PELBAGAI INISIATIF PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN SABAH, SARAWAK

12/04/2025 05:14 PM

SANDAKAN, 12 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan pelbagai inisiatif bersesuaian bagi pembangunan keusahawanan untuk Sabah dan Sarawak.

Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif terbabit termasuk dalam fokus tambahan kementerian untuk memperkasakan pembangunan keusahawanan di dua negeri itu.

"Kita perkenalkan inisiatif bersesuaian dengan Sabah seperti projek premis tamu desa, skim geran usahawan bumiputera Sabah Sarawak, skim pembiayaan usahawan tamu, skim latihan keusahawanan untuk Sabah Sarawak termasuk program usahawan KUSKOP, ini antara yang terkait dalam fokus tambahan bagi Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri 2025 UPKO Malaysia di sini hari ini.

Ewon berkata pihaknya termasuk 10 agensi di bawah KUSKOP berusaha membantu rakyat termasuk menambah perkhidmatan di kawasan luar bandar, seperti Bank Rakyat yang memperluas perkhidmatan bank bergerak di pekan-pekan kecil di Sabah yang selama ini tidak memiliki perkhidmatan perbankan.

Selain itu, katanya sebanyak RM813 juta bantuan disalurkan kepada 53,000 usahawan serta koperasi di Sabah sekali gus berharap nilai bantuan pembiayaan serta geran usahawan terbabit dapat ditingkatkan pada tahun ini.

"Sebab itu saya turun ke lapangan bagi meninjau sendiri keperluan wajar untuk pembangunan keusahawanan di Sabah dan Sarawak," katanya.

Sementara itu, katanya KUSKOP akan menjadi penganjur bagi Program MADANI Rakyat di Sabah pada tahun ini dan berharap sasaran pengunjung yang hadir ke program tiga hari ini lebih tinggi berbanding tahun lepas.

"Lebih 13 kementerian terlibat, lebih 50 agensi jabatan kerajaan yang berkaitan keusahawanan akan dibawa ke Sabah pada Mei ini, dengan harapan program ini dapat memberi kesedaran berkaitan keusahawanan," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan