TAPAH, 12 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang berperanan memantau aktiviti kempen setiap calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata setiap calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan sepertimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
“Semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan selagi ia tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R serta tidak melanggar peruntukan Akta 5 dan undang-undang lain yang berkaitan.
“Lambang, simbol dan bendera parti politik calon yang bertanding termasuk daripada parti politik komponen yang berdaftar mahupun tidak berdaftar secara rasmi, namun menyokong atau bersekutu dibenarkan untuk dipamerkan secara bersama atau berasingan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ramlan berkata tiada had ditetapkan terhadap gambar pemimpin atau parti politik diwakili termasuk parti politik gabungan yang dijadikan sebagai bahan kempen bagi pilihan raya berkenaan.
“Gambar pemimpin parti politik pada bahan kempen termasuk gambar pemimpin parti politik komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak rasmi, namun menyokong calon parti politik bertanding boleh digabung atau diletakkan secara berasingan tertakluk sepertimana ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berharap aktiviti berkempen berjalan dalam suasana penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan.
Terdahulu, pada proses penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning pagi tadi menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
BN diwakili Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, sementara PN meletakkan Pengerusi PN Tapah Abd Muhaimin Malek, 44, sebagai calon dan Timbalan Setiausaha Agung PSM Bawani KS mewakili parti itu.
-- BERNAMA