AM

ZABIDI NASAN DILANTIK SEBAGAI KETUA PENGARAH YAPEIM BAHARU

11/04/2025 05:28 PM

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Zabidi Nasan, 54, dilantik sebagai Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) berkuat kuasa hari ini.

YAPEIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pelantikan tersebut adalah bagi menggantikan Ameer Ali Vali Mohamed yang menamatkan perkhidmatan semalam selepas memacu yayasan itu selama dua tahun.

Zabidi merupakan anak jati kelahiran Baling, Kedah yang tidak asing dalam hal ehwal agama, dan sebelum ini pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan sejak 2018, selepas menjadi Pengurus Besar dari 2013 hingga 2017.

YAPEIM berkata pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga pernah terbabit dalam pengurusan dan pentadbiran universiti tersebut selaku Penolong Pengarah Jabatan Latihan dan Kepimpinan Pusat Pengajian Asasi dari 1997 hingga 2007.

Pada tahun 2007 beliau mengemudi Jabatan Rekod dan Pendaftaran Pusat Pengajian Asasi UIAM selaku Penolong Pengarah Kanan sehingga 2012 dan kemudian menjawat jawatan Timbalan Pengarah di Divisi Pembangunan Hal Ehwal Pelajar, UIAM hingga 2013.

YAPEIM turut mengumumkan bahawa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM berkuat kuasa serta-merta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan