AM

LEBIH 5,000 HADIRI SEMARAK AIDILFITRI LABUAN

11/04/2025 04:51 PM

LABUAN, 11 April (Bernama) -- Lebih 5,000 orang daripada pelbagai latar belakang hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Perbadanan Labuan (PL) yang bertemakan Semarak Aidilfitri di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, Timbalan Pengerusi PL Simsudin Sidek, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud.

Ketika berucap pada majlis tersebut Dr Zaliha berkata Rumah Terbuka Aidilfitri itu mencerminkan perpaduan dan menggalakkan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat.

“Majlis ini bukan sahaja menarik kehadiran masyarakat Islam, malah turut dihadiri masyarakat bukan Islam, sekali gus mencerminkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di pulau ini,” katanya.

Zaliha berkata majlis seperti itu juga sejajar dengan matlamat kerajaan MADANI untuk memupuk perpaduan antara pelbagai etnik dan agama, melalui platform inklusif dan sambutan bersama.

“Semarak Aidilfitri ini yang menampilkan persembahan muzik, gerai makanan tradisional serta pelbagai aktiviti, akan menggalakkan interaksi dalam kalangan para hadirin, sekali gus mengeratkan lagi hubungan kemasyarakatan,” katanya.

Pada majlis tersebut, Dr Zaliha turut menyampaikan sumbangan zakat RM200,000 kepada 1,000 kanak-kanak kurang berkemampuan, sebagai usaha memperkukuh sokongan dan keterangkuman masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan