AM

PEMBEDAHAN KATARAK ISTERI PAK CIK PETAI BERJAYA

10/04/2025 06:27 PM

SEREMBAN, 10 April ( Bernama) -- Isteri kepada peniaga petai Mohd Noor Saad atau dikenali sebagai 'pak cik petai' susulan video tular di media sosial bulan lepas, selamat menjalani pembedahan katarak pada mata kanan hari ini. 

Astiah Yaakob, 64, yang menjalani pembedahan itu di sebuah hospital swasta di sini pagi tadi, bersyukur kerana pembedahan berjalan lancar dan berterima kasih kepada mereka membantunya. 

"Sebelum ini mata kiri sahaja boleh nampak dengan jelas manakala mata kanan akan berair dan kabur jika memandang lama. Insya-Allah selepas ini penglihatan akan bertambah baik," katanya kepada pemberita selepas tamat pembedahan hari ini. 

Mohd Noor, 67, ketika ditemui menzahirkan rasa syukur kerana niat merawat mata isterinya dapat dilaksanakan dalam masa singkat, membolehkan isterinya itu melakukan rutin harian dengan lebih baik selepas bertahun-tahun bertahan dengan penglihatan yang kabur. 

Beliau berkata operasi pembedahan katarak menggunakan laser itu dapat dilakukan segera hasil keprihatinan ramai dan bantuan pelbagai pihak terutamanya dari hospital terlibat. 

Sementara itu Pakar Perunding Oftalmologi, Retina Perubatan dan Uveitis Hospital Columbia Asia Dr K. Sangeeta berkata katarak mata kanan Astiah berada pada tahap kritikal, serius dan keras. 

“Bagaimanapun pembedahan berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi dalam tempoh 30 minit dan kita berharap beliau dapat menjalani kehidupan lebih baik dengan penglihatan lebih terang selepas ini,” katanya.

Kisah Mohd Noor menjual petai bagi mengumpul wang untuk pembedahan mata isterinya diketahui ramai susulan penularan video yang memaparkan dia mencampak petai ke atas jalan sebagai protes kerana dihalang berniaga oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) .

Bagaimanapun perselisihan faham itu selesai secara baik selain Mohd Noor juga menerima sumbangan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai ganti rugi petai tidak dapat dijual pada hari kejadian.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan