AM

BIDAAN SIRI NOMBOR PLAT 'VIPS' DIBUKA ESOK HINGGA 15 APRIL

10/04/2025 04:53 PM

PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka tawaran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri VIPS secara bidaan dalam talian selama lima hari bermula esok.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata orang awam boleh membuat tawaran bidaan NPI VIPS melalui Sistem JPJeBid yang akan ditutup pada 10 malam, Selasa depan.

"NPI Siri VIPS adalah membawa maksud ‘Visit Impressive Perlis State’ bersempena Sambutan Ulang Tahun Pemerintahan Ke-25 Jubli Perak Tuanku Raja Perlis.

"Pengenalan NPI VIPS ini juga sebagai satu daripada inisiatif kerajaan untuk mempromosikan Tahun Melawat Perlis 2024-2025," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aedy Fadly berkata harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minimum yang ditetapkan iaitu nombor utama RM20,000, nombor premium (RM5,000), nombor menarik (RM2,500), nombor popular (RM500) dan nombor semasa (RM300).

"Kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui Sistem JPJeBid," katanya, menambah keputusan bidaan akan dikeluarkan pada 16 April depan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan