POLITIK

PEMILIHAN PKR 2025: RAFIZI PERTAHAN PANDAN, AMIRUDIN DAN RAMANAN MENANG TANPA BERTANDING

13/04/2025 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Pandan pada Pemilihan PKR 2025 di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang, yang berlangsung semalam.

Kemenangan Rafizi yang juga penyandang bagi cabang berkenaan sejak 2018, dipaparkan menerusi laman rasmi Pemilihan PKR 2025 di https://pemilihan.keadilanrakyat.org, hari ini.

Timbalan Presiden PKR itu menewaskan pencabarnya Shahrom Musa selepas memperoleh 883 undi.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan pula, masing-masing menang tanpa bertanding.

Amirudin yang juga Naib Presiden PKR menang tanpa bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Gombak, manakala Ramanan yang juga Ketua Penerangan 1 PKR, bagi jawatan Ketua Cabang PKR Sungai Buloh.

Penyanyi rap terkenal Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet, turut berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Ampang dalam persaingan tiga penjuru.

Altimet yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya memperoleh 1,926 undi, sekali gus menewaskan dua pencabarnya iaitu Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor Mohd Kamri Kamaruddin dan Azrul Azwar Ahmad Tajudin, yang masing-masing mendapat 1,637 dan 236 undi.

Semalam, 75 peratus ahli PKR menunaikan tanggungjawab mereka untuk Pemilihan PKR di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang melibatkan tiga negeri iaitu Selangor, Melaka dan Perlis, manakala di Kedah hanya pemilihan AMK Cabang.

Di MELAKA, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menang jawatan Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya, manakala Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli tewas bertanding Timbalan Ketua Cabang berkenaan.

Shamsul Iskandar yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa PKR mendapat 1,995 undi menewaskan penyandang jawatan itu Mohd Rafee Ibrahim yang memperoleh 736 undi, manakala Adam Adli pula tewas kepada pencabarnya Zamzizul Nordin yang mendapat 1,905 undi.

Shamsul Iskandar berkata antara fokus utama beliau selepas menyandang jawatan Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya ialah memastikan kemenangan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“‘Perniagaan utama’ bagi sebuah parti politik itu ialah pilihan raya dan insya-Allah, saya akan meletakkan fokus pilihan raya itu sebagai satu keutamaan dan untuk kita buat persiapan berdepan dengan PRN dan PRU (akan datang),” katanya kepada pemberita.

Di PERLIS, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Noor Amin Ahmad berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kangar dengan meraih 1,295 undi, menewaskan pencabarnya ADUN Indera Kayangan Gan Ay Ling yang memperoleh 1,059 undi.

Menerusi hantaran di Facebook, Noor Amin yang menzahirkan penghargaannya berkata proses pemilihan dalam parti suatu perkara biasa bagi memperkukuh parti di segenap peringkat.

“Paling penting, kita semua telah berikrar untuk berkhidmat dan berjuang kepada agama, nusa dan rakyat. Kemenangan ini suatu tanggungjawab, bukan keistimewaan,” katanya.

Pemilihan bagi pimpinan PKR di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang itu ditetapkan bermula 11 hingga 20 April.

Pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan pula akan diadakan pada 24 Mei.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan