KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diingatkan supaya berkempen secara bertanggungjawab dan mengelak daripada menyentuh sebarang sentimen yang sensitif.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kempen PRK bermula 12 April ini perlu menjadi contoh proses demokrasi yang matang, berhemah, dan tidak mencetuskan sebarang ketegangan kaum atau agama.
“Sebagai negara berbilang kaum, agama dan budaya, kita harus sentiasa menjaga tatasusila sepanjang kempen, selaras dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan serta nilai-nilai Malaysia MADANI.
“Elakkan menyentuh perkara-perkara sensitif seperti agama, bangsa dan institusi diraja (3R) serta sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aaron berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu atau pihak yang mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan berunsur hasutan, provokasi atau penghinaan terhadap mana-mana kaum, agama atau individu.
Menurut beliau, antara peruntukan undang-undang yang terpakai termasuk Seksyen 4(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan kesalahan mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan yang boleh mencetuskan perpecahan antara kaum dan agama sepanjang tempoh kempen.
“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula memperuntukkan tindakan komunikasi tidak wajar atau menyinggung perasaan; dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 berkaitan kesalahan menghasut.
“Setiap calon, penyokong dan pengundi perlu memastikan komunikasi mereka, sama ada di media sosial atau dalam pertemuan kempen, adalah sopan, tidak berunsur kebencian, dan tidak menyinggung mana-mana pihak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut berharap semua pihak menjaga perpaduan negara dan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 25 Feb lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.
– BERNAMA