AM

PENJUAL SHOPEE CATAT LONJAKAN JUALAN SEMPENA RAYA 2025

10/04/2025 11:32 AM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Sembilan daripada 10 penjual di platform e-dagang Shopee mencatatkan lonjakan jualan ketara bersempena dengan Aidilfitri tahun ini dan hampir separuh daripadanya menganggap ia sebagai musim perayaan yang paling menguntungkan.

Menurut Kajian Trend Penjual Shopee Raya 2025, sebanyak 60 peratus penjual menyatakan motivasi utama mereka adalah bagi menjamin kestabilan kewangan keluarga manakala 30 peratus melihat Aidilfitri sebagai peluang penting untuk mengembangkan perniagaan bagi jangka masa panjang.

“Baki penjual yang lain pula didorong oleh keinginan untuk menawarkan produk berkaitan raya yang bermakna dan dapat menyerikan sambutan pelanggan,” menurut kenyataan Shopee di sini hari ini.

Shopee memaklumkan penjual memanfaatkan pelbagai alat serta ciri disediakan Shopee untuk menjangkau lebih ramai pelanggan dan meningkatkan penglibatan termasuk menggunakan insentif pembeli seperti Shopee Ads, Shopee Coins dan baucar.

Berdasarkan kajian itu juga, sebanyak lapan daripada 10 penjual memanfaatkan ciri Shopee Live dan Shopee Video yang memainkan peranan penting dalam merangsang lonjakan jualan, serta ia membina hubungan lebih mendalam dengan pelanggan dan meningkatkan keterlihatan jenama.

"Shopee Live dan Shopee Video menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pesat ramai penjual, dengan menggunakan kedua-dua ciri ini, penjual dapat mencatat lonjakan ketara dalam prestasi jualan mereka," menurut kenyataan itu.

Selain itu, program Shopee Affiliate turut membantu memperluas jangkauan melalui cadangan ahli affiliate dan pempengaruh yang dipercayai.

Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data di Shopee Malaysia Tan Ming Kit dalam kenyataan itu berkata pada musim perayaan ini pihaknya melihat penjual memanfaatkan alat digital untuk berhubung dengan pembeli secara lebih bermakna.

“Shopee Live, Shopee Video dan rangkaian Shopee Affiliate terus mengubah cara jenama berinteraksi dengan pelanggan dan membina kesetiaan, namun matlamat kami melebihi kejayaan bermusim, kami terus berinovasi untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang penjual melalui penyelesaian yang memperkasakan mereka untuk berkembang dengan yakin,” katanya.

Seorang penjual di platform e-dagang itu, Mohd Naimran Nordin yang juga pengasas jenama pakaian Adnaa berkata ciri siaran kandungan Shopee menghidupkan rekaannya dan membantu pelanggan melihat kualiti dan potongan pakaian secara langsung.

“Gabungan penstriman langsung, kandungan video pendek dan pemasaran melalui ahli affiliate membolehkan kami menjangkau lebih ramai pembeli. Shopee Live membolehkan kami berinteraksi secara peribadi, Shopee Video menyerlahkan ketelitian rekaan kami, dan Shopee Affiliate membantu kami berkembang melalui cadangan yang dipercayai.

“Musim raya ini, jualan kami meningkat lebih 170 peratus, tetapi yang lebih penting, kami membantu keluarga tampil yakin dan bergaya ketika menyambut lebaran,” katanya dalam kenyataan sama.

Shopee Affiliate turut memainkan peranan penting dengan meningkatkan jualan Adnaa sebanyak 227 peratus hasil daripada sokongan rakan niaga dan pencipta kandungan yang memperkenalkan jenama itu kepada khalayak lebih luas.

Bagi Asikin Arifin dan Ahmad Faiq Shafiq yang merupakan Pengasas Asikin Ahmad, pelancaran koleksi raya yang dirancang secara strategik berjaya mencatat peningkatan jualan sebanyak 124 peratus berbanding bulan sebelumnya sepanjang tempoh kempen.

"Melalui sesi strim langsung, isi kandungan video yang menarik dan kerjasama bersama ahli affiliate, kami berjaya menjangkau lebih ramai penonton dan kekal dalam radar pelanggan sepanjang kempen," kata Asikin, pemilik jenama pakaian yang dikenali dengan gabungan gaya tradisional dan kontemporari itu.

Menurut kenyataan itu, Shopee komited untuk terus menambah baik platform, menawarkan program latihan penjual serta memperkenalkan alat siaran kandungan yang membantu perniagaan kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap digital yang sentiasa berubah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan