AM

KES DEMAM DENGGI BERKURANGAN PADA ME 13, TIADA KEMATIAN DILAPORKAN

09/04/2025 11:52 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Kes demam denggi dilaporkan berkurangan kepada 1,021 kes pada Minggu Epidemiologi ke-13 (ME 13) bagi tempoh 23 hingga 29 Mac lepas berbanding 1,129 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME13 sebanyak 16,296 kes dengan 10 kematian berbanding 44,144 kes dengan 31 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.

“Bagaimanapun, bilangan lokaliti hotspot telah meningkat kepada 21 pada ME13 berbanding 20 lokaliti pada minggu sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata daripada 21 lokaliti yang dilaporkan, 14 lokaliti di Selangor, masing-masing tiga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dua di Sabah dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Kedah.

Dr Muhammad Radzi turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada bagi memastikan kes denggi tidak meningkat dan kekal di bawah paras median lima tahun terutama di musim perayaan kerana virus denggi boleh disebarkan melalui individu dijangkiti termasuk individu tidak bergejala.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan