KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) bersedia memberi khidmat nasihat teknikal kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menilai tahap keselamatan struktur bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lahat, Perak, yang terjejas akibat kebakaran semalam.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penilaian itu penting bagi memastikan bangunan terlibat benar-benar selamat sebelum sebarang kerja pemulihan atau pengoperasian semula dilakukan.
“KKR komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak KPM dan semua agensi berkaitan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar, guru serta warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam kebakaran pagi semalam, bumbung tujuh bilik darjah di tingkat tiga Blok D SMK Lahat terbakar, dengan anggaran kemusnahan kira-kira 30 peratus.
Nanta berkata beliau dimaklumkan jentera bomba tiba di lokasi dalam masa tiga minit dan berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh lebih sejam, tanpa sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
“Saya juga telah dimaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan oleh pihak bomba bagi mengenal pasti punca kejadian. Buat masa ini, kawasan kejadian masih dalam kawalan pihak berkuasa dan tidak dibenarkan dimasuki oleh pihak luar bagi memastikan keselamatan semua pihak dan kelancaran siasatan,” katanya.
Nanta turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, khususnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih serta Batu Gajah, yang telah bertindak pantas dan profesional dalam menangani situasi itu.
“Sekali lagi, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi ini dan saya mendoakan semoga segala urusan pascakebakaran ini berjalan lancar,” katanya.
-- BERNAMA