KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Malaysia akan mempamerkan kepemimpinan yang kukuh dan bertindak secara bertanggungjawab dalam ASEAN bagi menangani kadar tarif terkini oleh Amerika Syarikat (AS), kata Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Datuk AT Kumararajah.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim komited mengutamakan isu utama serantau termasuk isu kadar tarif selain sedang membimbing perbincangan yang bermakna.
Namun, beliau mengakui rundingan ASEAN dibentuk oleh pelbagai sudut pandang daripada negara-negara anggotanya.
"Kami akan mempamerkan kepemimpinan dalam konteks ASEAN. Perdana Menteri tampil dengan sangat baik (dalam pergolakan semasa ini), dengan berkata; lihat, kami akan menghadapi ini secara bersama."
"Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar akan menunjukkan kepemimpinan tetapi apabila melibatkan rundingan, setiap pihak mempunyai pandangannya dan kami akan melakukannya mengikut cara kami," katanya dalam program The Nation di Bernama TV bertajuk "24 Peratus Tarif AS: Apa Maksudnya Untuk Ekonomi Malaysia" hari ini.
ASEAN, sebagai sebuah blok besar dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang hampir mencecah US$3.8 trilion (US$1 = RM4.48), menjadikannya blok ekonomi kelima terbesar di dunia.
AS mengenakan tarif sebanyak 36 peratus ke atas Thailand, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia masing-masing 24 peratus, Filipina 17 peratus dan Singapura sebanyak 10 peratus.
Menyorot mengenai pendekatan Presiden AS Donald Trump, Profesor Pengajian ASEAN di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Phar Kim Beng berkata, kadar tarif tersebut sebagai "penetapan semula global yang sukar selain kesannya yang meluas."
Beliau berkata Malaysia mungkin menyaksikan pengurangan eksport sebanyak RM60 bilion dan berpotensi berdepan penurunan KDNK sebanyak 1.7 peratus.
"Pasaran saham tidak menunjukkan prestasi yang baik di seluruh dunia. Setakat aliran ini terus menurun, ketakutan dan kehilangan keyakinan akan menjadi sangat besar sehingga apa yang sepatutnya menjadi pemicu kepada kemelesetan boleh membawa kepada kemelesetan ekonomi yang lebih teruk," katanya.
Sehubungan itu, Malaysia mungkin perlu menyesuaikan angka KDNK sebanyak 0.5 hingga 0.7 peratus.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadualkan mengetuai delegasi Malaysia ke Washington pada hujung bulan ini untuk berunding mengenai kadar tarif yang dikenakan.
Beliau akan diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Mastura Ahmad Mustafa dan pegawai-pegawai kementerian yang lain.
Wakil-wakil dari Kedutaan Malaysia di Washington juga akan menyertai delegasi tersebut.
-- BERNAMA