AM

KERAJAAN PERAK BANTU EMPAT BERADIK YATIM PIATU DI TRONOH LANJUT PELAJARAN - EXCO

09/04/2025 08:21 PM

IPOH, 9 April (Bernama) -- Nasib empat beradik yatim piatu yang ibu bapa mereka maut akibat kemalangan jalan raya di Gopeng dua tahun lepas, akan dibela bagi memastikan masing-masing dapat meneruskan pelajaran tanpa sebarang masalah.

Nur Fatin Syafika Mohd Ramddan, 20, Muhammad Ikman, 19, Muhammad Aiman Daniel, 15, dan Nur Fatihah, 9, tular di media sosial baru-baru ini selepas didakwa terabai dan tinggal dalam keadaan serba kekurangan di rumah peninggalan ibu bapa mereka di Kampong Serkai Jadi, Tronoh.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah berkata keputusan untuk membantu empat beradik itu dibuat hasil perbincangan pihaknya bersama beberapa agensi berkaitan seperti Yayasan Perak, Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Untuk anak sulung, kita dimaklumkan dia mendapat tawaran ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebelum ini namun terpaksa ditolak kerana kekangan kewangan dan kita akan usahakan untuk dia meneruskan pengajian ke universiti awam memandangkan keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang diraih amat membanggakan.

“Anak kedua pula kita cadangkan pada PASAK supaya dibantu untuk memudahkan urusan mengikuti pengajian di kolej komuniti atau Pusat Giat Majlis Amanah Rakyat (MARA) kerana kita dimaklumkan dia berminat dalam bidang automotif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kolam Hidroterapi Majlis Sukan Negara Perak dan Penyerahan Geran Bantuan Kepada Persatuan Sukan Negeri di sini hari ini.

Khairudin berkata anak ketiga dan keempat akan ditempatkan di sekolah bersesuaian bagi memastikan mereka dapat menuntut ilmu hingga tamat peringkat sekolah rendah dan menengah. 

“Anak ketiga ini mungkin kita tempatkan di sekolah berasrama penuh yang bersesuaian selain akan menerima bantuan wang saku daripada program Yayasan Perak iaitu Program Hijrah Insaniah yang membantu pelajar B40.

“Anak keempat yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tronoh, kita rancang supaya meneruskan persekolahan dengan pengawasan penjaga mereka iaitu nenek dan bapa saudara terdekat,” katanya.

Tambah Khairudin meskipun keempat-empat beradik itu menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), ia tidak mencukupi untuk masing-masing meneruskan persekolahan. 

Ibu bapa mereka, Mohd Ramddan Abd Rahim, 44, dan Kisdalliana Saad, 43, maut dalam kemalangan jalan raya semasa pulang daripada menghantar anak sulung mendaftar di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng pada 10 Julai 2023.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan