AM

KLIA EKSPRES, KLIA TRANSIT KEMBALI BEROPERASI

09/04/2025 05:35 PM

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang mengalami gangguan kembali beroperasi seperti biasa 4 petang tadi.

Menurut Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dalam kenyataan perkembangan terkini itu dimaklumkan menerusi semua platform sosial media syarikat berkenaan.

"Susulan insiden kecurian kabel dan gangguan sistem isyarat yang menjejaskan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, ERL telah melaksanakan langkah-langkah segera untuk memudahkan pengguna kami serta terus mempertingkat langkah keselamatan di kawasan yang terjejas," menurut kenyataan itu.

Menurut ERL pihaknya telah memulakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma untuk membantu pengguna dalam tempoh terdekat antara Stesen Salak Tinggi dan Stesen Putrajaya dan Cyberjaya.

Petugas tambahan turut ditempatkan di kawasan terbabit selain kekerapan rondaan ditingkatkan dan pemantauan diperhebat di sekitar infrastruktur penting.

"ERL bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat insiden itu dan melaksanakan langkah pencegahan," menurut kenyataan itu.

Syarikat itu turut menyatakan komitmen terhadap keselamatan dan kesejahteraan pengguna serta kesal atas kesulitan yang disebabkan oleh keadaan yang tidak dijangka itu.

"Kami sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan tren sepenuhnya secepat mungkin. Kami akan terus mengemas kini perkembangan usaha pemulihan menerusi saluran rasmi kami," menurut ERL.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan