KOTA BHARU, 9 April (Bernama) -- Kerajaan Kelantan akan mengambil tindakan tegas termasuk menyita haiwan ruminan yang berkeliaran dan mengeluarkan kompaun kepada pemiliknya sekiranya haiwan ternakan itu didapati berada di kawasan awam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata langkah itu diambil bagi mengelakkan insiden kemalangan melibatkan haiwan ternakan, khususnya lembu, yang berkeliaran tanpa kawalan.
“Dalam tempoh kurang 24 jam hari ini, dua kes kemalangan membabitkan kenderaan merempuh lembu telah berlaku, termasuk satu kes maut melibatkan seorang pelajar lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di jalan utama berhampiran Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai. Satu lagi kes berlaku di Jalan Keroh yang mengakibatkan kecederaan ringan.
“Susulan itu, kerajaan negeri bersetuju menyalurkan peruntukan khas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mempergiatkan operasi menangkap haiwan ruminan berkeliaran mengikut keperluan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Hilmi turut menggesa semua pemilik ternakan agar mendaftarkan haiwan mereka selaras dengan Enakmen Pendaftaran Ternakan Ruminan 2024, yang mewajibkan pendaftaran semua jenis haiwan ruminan.
“Jika sebelum ini hanya haiwan yang baru dilahirkan diwajibkan didaftarkan, kini kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jawatankuasa Pertanian negeri untuk memastikan semua haiwan ruminan memiliki pemilik yang sah.
“Sekiranya haiwan ternakan ditemui berkeliaran, ia akan disita dan notis tuntutan akan dikeluarkan dalam tempoh antara tiga hingga tujuh hari. Pemilik pula akan dikenakan kompaun sehingga maksimum RM2,000 serta bayaran kos penjagaan haiwan terbabit.
“Jika haiwan tidak dituntut dalam tempoh yang ditetapkan, ia akan dilelong,” katanya.
Beliau berkata tindakan tegas itu diharapkan dapat mengurangkan bilangan haiwan ternakan yang berkeliaran di kawasan awam termasuk jalan raya, taman awam dan kawasan perumahan dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA