IPOH, 7 April (Bernama) -- Jenazah pelakon veteran Datin Noor Azizah Azizul Hassan, 79, yang menghembuskan nafas terakhir pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh di sini, kira-kira 2.50 petang tadi.
Terdahulu jenazah seniwati itu telah dibawa dari Kampung Melayu Sungai Rapat ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh untuk disembahyangkan.
Lebih 100 orang ahli keluarga dan kenalan rapat menghadiri pengebumian Allahyarham termasuk penyanyi era 70-an Datuk DJ Dave yang juga Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT).
Allahyarham meninggalkan suami Datuk Nik Hussain Nik Ali, 94, dan dua anak, Khairena dan Khairi masing-masing berusia 38 dan 34 tahun serta seorang cucu Kaiser Ali berusia enam tahun.
Menurut Khairena mereka sekeluarga sempat makan malam bersama selain menyaksikan bunga api di kediaman mereka malam tadi.
Bagaimanapun katanya sekitar 1 pagi ibunya secara tiba-tiba mengalami sesak nafas yang agak kritikal sehingga memerlukan rawatan lanjut di hospital.
“Ibu sebelum ini memang ada menghidap penyakit buah pinggang namun tidak kritikal. Malah semalam arwah masih sempat keluar makan bersama kami dan tengok bunga api di kediaman kami.
“Cuma arwah tiba-tiba mengalami sesak nafas sekitar jam 1 pagi tadi, kemudian saya hubungi ambulans. Ketika ambulans tiba, ibu sudah tidak sedar diri dan pasukan perubatan berusaha menyelamatkannya sehingga dimaklumkan ibu sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, sepupu Allahyarham Yong Arbeya Abd. Rahman, 69, berkata kehilangan sepupunya itu amat dirasai kerana Noor Azizah merupakan individu yang amat disenangi adik-beradik, saudara-mara serta kenalan rapat.
Tambahnya Allahyarham juga amat pemurah dan tidak lokek untuk menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
“Setiap tahun arwah akan bersedekah di mana terdapat 10 buah rumah anak-anak yatim yang akan menerima zakatnya. Di Masjid Paloh ini sendiri banyak yang disumbangkan termasuk penghawa dingin.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah semalam ketika datang beraya di rumahnya. Ketika itu tiada perubahan pun, dia gembira macam biasa selalu ketawa,” katanya.
Sepanjang kerjaya lakonannya, Allahyarham pernah membintangi filem Enam Jahanam, Jangan Tinggal Daku, Kembang Layu, Durjana, Di Belakang Tabir, Perintah Sri Paduka, Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh, Sayang Anakku Sayang, Cinta dan Lagu serta Pendekar.
Noor Azizah juga pernah membintangi filem produksi Indonesia iaitu Malin Kundang bergandingan bersama aktor terkenal Rano Karno dan Jangan Kau Tangiskan.
-- BERNAMA