AM

FAHMI UCAP TAKZIAH KEPADA KELUARGA SENIWATI LEGENDA NOOR AZIZAH

07/04/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga seniwati legenda Datin Noor Azizah Azizul Hassan yang meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sungai Paloh, Ipoh kira-kira 3 pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Innalillahi wa inna ilayhi raji'un… Perginya seorang seniwati yang satu ketika dahulu mewarnai dunia perfileman tanah air. Lakonan Allahyarhamah Datin Noor Azizah Azizul Hassan dalam filem Enam Jahanam arahan Tan Sri P. Ramlee pada tahun 60-an merupakan antara kegemaran peminat filem Melayu.

“Bagi pihak Kementerian Komunikasi, saya zahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Memetik laporan sebuah portal tempatan, difahamkan ibu kepada dua cahaya mata itu menghidap penyakit buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis.

Jenazah Allahyarhamah Noor Azizah dijangka dikebumikan selepas Zuhur di Ipoh.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan