AM

ATASI ISU DENGAN BAIK, ELAK DIEKSPLOITASI PIHAK TIDAK BERTANGGUNGJAWAB - PM ANWAR

07/04/2025 10:49 AM

PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan semua pihak termasuk penjawat awam untuk mengatasi setiap isu di negara ini dengan baik, supaya ia tidak dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri turut mengesyorkan agar setiap ruang berhubung isu yang berlaku diatasi sebaiknya, manakala isu yang dimainkan di media sosial tidak disensasikan untuk kepentingan sendiri.

“Kita kadangkala terlalu diheret (dalam isu) terutama media sosial atau media, kerana mereka suka sensasi. Jadi hal-hal yang kecil yang boleh kita tangani dengan baik dijadikan besar.

“Seolah-olah perang akan berlaku, soal kuil...perang, soal belon...perang, padahal boleh kita atasi dengan baik, sebab itu saya ingin mengesyorkan supaya jangan berikan ruang (eksplotasi),” kata beliau ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan April, di sini hari ini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar menegaskan bahawa masih terdapat individu yang cenderung mengeksploitasi isu tertentu tanpa mengambil kira kepentingan umum, sebaliknya lebih gemar mempolitikkan segala perkara.

“Sesetengah orang dia bebal, tidak fikir kepentingan umum, semuanya mahu dipolitikkan dan semuanya mesti dengan cara menghukum,” kata beliau.

Mengambil contoh isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di ibu negara baru-baru ini, Anwar berkata kerajaan MADANI telah menyelesaikan isu itu dengan jalan aman serta hormat kepada kaum lain.

“Negara kita ini majmuk, pelbagai kaum, pelbagai agama, namun Islam agama Persekutuan dan kekuatan Islam tidak dipertikai….keputusan kita mestilah berdasarkan prinsip-prinsip (yang jelas),” kata beliau.

Isu tapak kuil berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur selesai apabila pihak pengurusan kuil berkenaan bersetuju untuk rumah ibadat berkenaan dipindahkan ke lokasi baharu.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan semua kementerian dan jabatan kerajaan supaya sentiasa  berwaspada terhadap isu integriti termasuk ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa.

“Jangan pandang ringan dan remeh (kerana) masih ada kecuaian, ketirisan dan laporan berkaitan rasuah. Jadi pimpinan di jabatan, kementerian waspada kerana hasrat kita ini menyelamatkan bangsa dan memastikan negara ini terangkat kedudukannya,” kata Perdana Menteri.

Anwar turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan terus komited melaksanakan amanah dan tanggungjawab mengemudi negara dengan baik, supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang hebat dan cemerlang.

“Kita akan cuba lakukan sebaiknya dan tidak akan khianati amanah ini. Bagi saya, setelah harungi liku-liku hidup yang pancaroba dan simpang-siur yang getir, saya bertekad untuk mengangkat kembali maruah negara ini sebagai negara yang hebat dan cemerlang,” kata beliau.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan