AM

ANWAR AKAN KETENGAH PENEKANAN KESEPAKATAN ASEAN DALAM PERSIDANGAN PELABURAN ASEAN

07/04/2025 06:36 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi penekanan terhadap keperluan negara anggota ASEAN membentuk kesepakatan bagi mengukuhkan lagi ekonomi dan perdagangan di rantau ini menerusi ucap tama pada Persidangan Pelaburan ASEAN esok.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Anwar juga akan memanjangkan perbincangan yang diadakan bersama ketua-ketua negara ASEAN berkaitan isu tarif Amerika Syarikat.

“Perkara ini memerlukan perbincangan dan rundingan yang menyeluruh bagi membawa suara komuniti ASEAN,” katanya.

Nashrul berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Persidangan Pelaburan ASEAN merupakan salah satu acara yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN Ke-12 (AFMGM) yang bermula hari ini hingga 10 April 2025.

Kira-kira 300 delegasi terdiri daripada Menteri Kewangan ASEAN, Gabenor Bank Pusat, pegawai daripada Institusi Kewangan Antarabangsa dan wakil sektor swasta menghadiri AFMGM yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu.

Anwar akan turut menghadiri majlis penutup AFMGM pada 10 April nanti.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan