AM

ASEAN PERLU BEKERJASAMA KURANGKAN IMPORT DARI AS -- PENGANALISIS EKONOMI

06/04/2025 08:24 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

GEORGE TOWN, 6 April (Bernama) -- ASEAN boleh bersepakat dan bekerjasama bagi meningkatkan teknologi serta keperluan produk untuk mengurangkan kebergantungan import daripada Amerika Syarikat (AS).

Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Abdul Rais Abdul Latiff berkata cadangan ini antara yang boleh dilakukan susulan kadar tarif  diumumkan Presiden AS Donald Trump baru-baru ini.

"Berikutan kadar baharu itu, akan berlaku kenaikan kos beberapa produk yang kita import dari sana seperti dalam bidang pembuatan, cip perisian dan enjin kenderaan kerana kita memang terpaksa import berikutan tiada produk tersebut di sini, ini memang akan memberi impak.

"Tapi mungkin kita boleh mencari beberapa alternatif bagi mengatasi perkara tersebut supaya tidak berlaku peningkatan (harga) yang ketara antaranya kerjasama dalam kalangan negara ASEAN untuk meningkatkan pengeluaran barangan tersebut kerana ASEAN sebenarnya setanding dengan AS," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu, katanya Malaysia juga mungkin boleh memilih atau mencari alternatif dari negara lain bagi mengurangkan kebergantungan dengan AS dalam usaha mengurangkan peningkatan kos tersebut.

Abdul Rais berkata Malaysia juga boleh meningkatkan teknologi supaya dapat menghasilkan produk sendiri dan pada masa yang sama dapat mengeksportnya ke negara-negara lain terutama ASEAN.

Beliau berpandangan ketika ini dunia sedang berada dalam fasa ‘perang’ tarif namun, AS merupakan antara negara perdagangan yang besar dengan Malaysia.

"Malaysia mungkin boleh melihat semula perjanjian perdagangan dengan AS dan saya rasa kesepakatan negara-negara ASEAN juga penting untuk meningkatkan kerjasama antara satu sama lain bagi mempertahankan hak ekonomi serantau," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Teong Li berkata pihaknya melahirkan kebimbangan mendalam terhadap keputusan AS yang mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas eksport Malaysia di bawah inisiatif 'Hari Pembebasan Amerika’.

Katanya, tarif yang lebih tinggi ini akan berkuat kuasa pada 9 April selepas tarif awal sebanyak 10 peratus dikenakan ke atas semua negara mulai 5 April di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).

Beliau berkata Malaysia merupakan antara negara yang dikenal pasti mempunyai defisit perdagangan yang besar dengan AS dan oleh itu, ia dipindahkan dari kumpulan tarif 10 peratus umum ke kategori tarif yang lebih tinggi iaitu 24 peratus.

Menurut Lee, keputusan ini amat membimbangkan memandangkan hubungan perdagangan yang kukuh di antara Malaysia dengan AS serta komitmen negara ini yang lama terhadap perdagangan terbuka dan adil,.

“Beberapa kategori barang dikecualikan daripada tarif timbal balik AS termasuk semikonduktor, farmaseutikal, tembaga, kayu, emas dan mineral kritikal tertentu yang tidak terdapat di AS serta produk keluli, aluminium dan automotif yang sudah dilindungi di bawah tarif Seksyen 232 sedia ada, namun kebanyakan eksport Malaysia ke AS akan terjejas.

“Ini termasuk produk utama seperti sarung tangan, plastik, barangan elektrik dan elektronik yang tidak diklasifikasikan di bawah kategori semikonduktor serta mesin industri,” katanya kepada Bernama.

Lee berkata sektor yang terjejas kini akan berdepan tarif penuh sebanyak 24 peratus yang boleh menyebabkan pengurangan ketara dalam jumlah eksport,.

Selain itu, berlaku tekanan terhadap pekerjaan dalam industri yang terjejas dan pengalihan atau penstrukturan semula rantaian bekalan melibatkan pengeluar Malaysia serta operasi syarikat multinasional yang berhubung dengan AS yang berpusat di Malaysia.

Beliau berkata ekosistem yang lebih menyeluruh termasuk pembekal, penyedia logistik dan sektor perkhidmatan hiliran juga boleh terjejas akibat perubahan dalam keputusan perolehan dan pembuatan yang berpunca daripada tarif tersebut.

"Menurut perspektif FMM, walaupun kadar tarif Malaysia sebanyak 24 peratus lebih rendah berbanding negara ASEAN yang lain iaitu Kemboja (49 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Thailand (36 peratus), kita tetap digolongkan dalam kumpulan ekonomi yang dikenakan hukuman," katanya.

Beliau berkata ini menggambarkan ekonomi ASEAN sedang berdepan pemeriksaan yang lebih ketat dan di dalam rantau ini, Malaysia bersaing dan melengkapi rakan-rakan serantau serta dalam beberapa sektor seperti elektronik, produk berasaskan getah dan mesin, Malaysia adalah pesaing langsung.

Beliau berkata, dalam sektor lain seperti semikonduktor dan komponen industri, Malaysia memainkan peranan sebagai pelengkap dalam rantaian bekalan yang terintegrasi.

Oleh itu, tarif baharu ini berisiko bukan sahaja mengganggu aliran perdagangan ke AS tetapi juga menjejaskan kedudukan Malaysia dalam rangkaian bekalan serantau dan global.

"Melangkah ke hadapan, FMM menekankan iaitu ketahanan jangka panjang akan bergantung bukan sahaja pada kepelbagaian luaran tetapi juga pada dasar domestik yang kukuh dan pengeksport Malaysia dijangka berdepan tekanan yang tinggi dari pengimport AS untuk mengurangkan harga eksport mereka bagi mengimbangi tarif 24 peratus yang dikenakan, seterusnya menekan margin keuntungan pengeluar.

"Pada masa yang sama, negara yang terkesan teruk oleh tarif AS mungkin mula mengalihkan barangan mereka ke Malaysia dan rantau ASEAN yang boleh membawa kepada kemasukan barangan import yang lebih murah,” katanya,

Menurut Lee, ini boleh mengakibatkan persaingan yang tidak adil bagi industri tempatan jika tidak dipantau dengan teliti dan ditangani melalui langkah-langkah perlindungan yang sesuai.

-- BERNAMA         

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan