KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Proton Holdings Bhd menyumbang sebanyak RM250,000 bagi menyokong mangsa kebakaran paip gas baru-baru ini di Putra Heights sebagai pelengkap kepada inisiatif bantuan kewangan kerajaan selain menangani keperluan segera komuniti yang terjejas.
Sebagai tindak balas terhadap tragedi tersebut, Proton berkata sumbangan berkenaan bagi memenuhi keperluan segera penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan terjejas akibat insiden tersebut termasuk mereka yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) seperti di Dewan Masjid Putra Heights serta Dewan Camelia iaitu Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya.
"Proton sedar mengenai luahan ramai penduduk yang terjejas iaitu bantuan kewangan yang diterima tidak mencukupi dan dengan ini, diharapkan sumbangan terkini itu dapat membantu meringankan sebahagian daripada beban yang dihadapi penduduk,” kata pengeluar kereta nasional itu dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Proton, enam pusat servisnya di kawasan berdekatan ditetapkan bagi menawarkan penilaian percuma serta menyeluruh bagi semua kenderaan Proton yang terjejas akibat kebakaran dan kemudiannya akan membantu dengan tuntutan insurans berdasarkan tahap kerosakan kenderaan.
Perkhidmatan ini bertujuan untuk menentukan dengan tepat tahap kerosakan dan menyediakan pemilik dengan laluan yang jelas untuk pembaikan dan pemulihan sama ada kereta Proton yang terjejas diletakkan di pusat kejadian atau dipindahkan semasa insiden.
"Proton ingin menawarkan perkhidmatan menyeluruh dan bantuan tuntutan insurans bagi memastikan kereta yang terjejas dijaga dan manfaat pemilik dilindungi,” katanya.
Bagi mendapatkan bantuan segera, mangsa yang terlibat boleh menghubungi talian khidmat pelanggan 24 jam Proton di 1-800-88-8398 atau WhatsApp 012-219 5426.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan