WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LAGU 'NEGARAKU' GAGALKAN CUBAAN PENDATANG TANPA IZIN MENYAMAR

23/05/2025 09:48 AM

PETALING JAYA, 23 Mei (Bernama) -- Cubaan seorang pendatang tanpa izin menyamar sebagai rakyat  tempatan ketika operasi penguatkuasaan dijalankan di sebuah pangsapuri di Bandar Sunway di sini tidak berhasil, selepas dia gagal menyanyikan lagu Negaraku.

Suspek lelaki berumur lingkungan 30-an itu, antara 597 pendatang tanpa izin ditahan akibat pelbagai kesalahan imigresen ketika pemeriksaan dijalankan terhadap 1,597 warga asing dalam serbuan bermula 9 malam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Jafri Embok Taha berkata operasi mega itu disertai 139 anggota Imigresen serta dibantu 200 anggota Pasukan Gerakan Am, 40 anggota Majlis Perbandaran Petaling Jaya, enam pegawai Jabatan Pendaftaran Negara dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam.

“Kesemua individu yang ditahan berumur 11 hingga 59 tahun, terdiri daripada 472 lelaki dan 125 wanita,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Beliau berkata serbuan itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu selepas menerima aduan awam mengenai keberadaan warga asing yang menghuni kawasan berkenaan.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

 “Pihak Imigresen mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi pendatang tanpa izin atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Jafri berkata semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen di Semenyih untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan awal, Jafri memaklumkan terdapat warga tempatan yang menyewakan unit kediaman di pangsapuri terbabit kepada pendatang tanpa izin berkenaan.

“Difahamkan kadar sewaan bagi sebuah rumah antara RM1,100 dan RM1,300 manakala ada juga rumah yang diubah suai dengan mendirikan partition dan disewa dengan kadar RM280 bagi setiap ruangan itu,” katanya.

Berdasarkan tinjauan Bernama, terdapat juga warga asing yang ditahan itu cuba melarikan diri sehingga sanggup merisikokan nyawa dengan hampir terjun dari tingkat lima pangsapuri terbabit, namun berjaya dihalang anggota Imigresen yang bertugas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan