WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EKSPORT HALAL MALAYSIA KE ALGERIA MENINGKAT 24 PERATUS KEPADA RM156.3 JUTA PADA 2024

22/05/2025 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Eksport halal Malaysia ke Algeria melonjak sebanyak 24 peratus kepada RM156.3 juta pada 2024 dengan penghantaran termasuk makanan dan minuman, kosmetik, bahan disahkan halal dan derivatif minyak sawit.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika berucap di Forum Kepimpinan Ekonomi Halal (HELF) 2025 di Algiers, Algeria berkata Malaysia terus menyokong inisiatif yang memudahkan perdagangan, membangunkan industri halal dan mengembangkan akses pasaran untuk syarikat pemegang sijil halal.

Teks ucapan beliau dibaca oleh duta Malaysia ke Algeria, Rizany Irwan Muhamad Mazlan.

“Ini termasuk mempertingkatkan kerjasama dengan Algeria dan negara anggota OIC untuk memanfaatkan potensi penuh ekonomi halal dan mencipta masa depan yang lebih inklusif, saksama dan sejahtera untuk semua,” kata Tengku Zafrul.

HELF 2025 dianjurkan bersama oleh Halal Development Corporation Bhd (HDC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Bank Pembangunan Islam (IsDB) menerusi pusat kecemerlangannya di Kuala Lumpur (IsDB KLCoE) dan Unit Dana Pelaburan Awam (PIF)  Syarikat Pembangunan Produk Halal (HPDC).

HDC dalam satu kenyataan berkata forum tahun ini mengikuti kejayaan pertama HELF sebelum ini yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi semasa Jubli Emas IsDB pada 2024, meletakkan asas bagi integrasi ekonomi halal yang lebih mendalam di seluruh negara anggota OIC.

"Forum itu menumpukan pada memajukan agenda halal global dengan mengukuhkan perdagangan, inovasi dan perkongsian rentas sempadan dalam OIC dan lain-lain.

“Ekonomi halal global kini bernilai lebih US$3 trilion. Forum itu menyerlahkan keunggulan Afrika yang semakin meningkat sebagai hab pengguna dan pengeluar dengan anggaran lebih 540 juta penduduk beragama Islam, hampir 40 peratus penduduk di seluruh dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan