WILAYAH - SARAWAK > BERITA

YIM PERKUKUH INOVASI AKAR UMBI MENERUSI PROJEK BERIMPAK TINGGI DI LANGKAWI

21/05/2025 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), terus memperkukuh peranannya dalam memacu inovasi akar umbi menerusi pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi yang menyasarkan pembangunan komuniti secara inklusif dan mampan.

YIM dalam kenyataan memaklumkan agensi itu baru-baru ini menerima lawatan kerja rasmi Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, bagi meninjau pelaksanaan projek-projek berkenaan di Langkawi, Kedah.

Lawatan itu meliputi inisiatif di bawah MOSTI dan YIM yang menumpukan kepada pembangunan inovasi, teknologi tempatan dan pemerkasaan ekonomi setempat.

Program dimulakan dengan sesi pemantauan Program Rehabilitasi dan Konservasi Gamat Emas di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pendaratan Sungai Chenang, sebelum delegasi dibawa ke Pulau Singa Besar untuk menyaksikan pemantauan langsung Rangka Restorasi dan Hidupan Laut, termasuk pelepasan 20 ekor induk dan 200 ekor juvenil gamat.

“Objektif utama program ini adalah untuk melestarikan industri gamat tempatan menerusi pemuliharaan biodiversiti dan penggunaan teknologi tempatan bagi tujuan konservasi serta peningkatan sosioekonomi komuniti,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif YIM Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata program tersebut bukan sahaja menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti, malah memberi manfaat kepada komuniti melalui pemerkasaan ekonomi dan inovasi teknologi.

“Langkawi mempunyai potensi besar sebagai hab inovasi komuniti dan kami di YIM akan terus menyokong inisiatif yang mendekatkan teknologi kepada masyarakat,” katanya.

Projek Gamat Emas juga membuktikan kejayaan kolaborasi pintar antara penyelidik, agensi dan industri melalui pengurusan model perniagaan yang efektif membabitkan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), YIM sebagai agensi pelaksana dan pemantau, serta Akademi Sains Malaysia (ASM) selaku agensi penyelaras.

YIM turut memaklumkan lawatan itu diteruskan ke Crab Farm Langkawi bagi meninjau pelaksanaan dua projek inovasi dalam bidang akuakultur, iaitu Sistem Pintar Penternakan Ketam (SeppeK) dan Penternakan Ketam Kulit Lembut (V-Crabs), yang turut disertai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal, bersama pegawai MOSTI dan inovator tempatan.

Menurut YIM, projek SeppeK menerima geran RM180,000 di bawah Program Inclusive SME Ecosystem (i-SEE) 2022, manakala V-Crabs memperoleh geran RM50,000 melalui Program MaGRIs/MyIS Akar Umbi 2024 serta RM80,000 menerusi Program Rintis Pengkomersialan Inovasi Sosial.

“Kedua-dua projek ini memperlihatkan potensi besar dalam memperkasa ekonomi komuniti menerusi pendekatan teknologi inovatif dalam sektor akuakultur,” menurut kenyataan itu.

Hasnol Zam Zam berkata projek berkenaan membuktikan bagaimana inovasi dan teknologi boleh memberi impak positif kepada kehidupan masyarakat.

“MOSTI sentiasa komited menyokong serta memacu pembangunan teknologi tempatan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.

Delegasi turut melawat Ruang Daya Cipta (RDC) Langkawi yang terletak di Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi meninjau kemajuan pelaksanaan fasiliti berkenaan yang menyediakan ruang pembelajaran, latihan dan bantuan teknikal kepada komuniti setempat.

Menurut YIM, RDC Langkawi dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan aplikasi berasaskan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE), termasuk pencetak 3D dan robotik, sejajar dengan usaha mendekatkan teknologi kepada masyarakat.

“Sejak mula beroperasi pada Ogos 2022, RDC terus memainkan peranan sebagai pemangkin inovasi akar umbi yang mampan dan inklusif,” menurutnya.

Sebagai nilai tambah, sesi lawatan turut merangkumi pelaksanaan Kursus Inspirasi 30 Hari Kandungan Media Sosial (ChatGPT X Canva) kepada usahawan tempatan, sebagai sebahagian daripada usaha memupuk kecekapan digital dalam kalangan komuniti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan